Skip to main content
Berita TempatanSabah

RM2 Juta Bantu Mangsa Kebakaran Pasar Gantung Tawau

By 22 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Fauzrina Bulka / Foto: Mastim Kiriman (Sabah)

TAWAU, 22 Jul (Malaysiaktif) –Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan akan menyalurkan bantuan sejumlah RM2 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk membaiki semula Pasar Gantung Tawau yang musnah akibat kebakaran pada 14 Julai lalu.

Zahid turut berharap agar pembinaan semula pasar gantung tersebut disegerakan agar para peniaga dapat kembali mencari rezeki.

“Dalam lawatan saya ke Tawau ini, Ketua Menteri, Datuk Musa Aman membisikkan kepada saya bahawa terdapat 77 unit gerai pasar gantung terbakar, atas keprihatinan dia meminta saya mengambil tindakan segera untuk membantu peniaga yang ditimpa musibah ini,” katanya dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Wisma Rastamas, tadi.

Pada majlis itu juga, Zahid turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai kepada mangsa kebakaran, juga tambahan sebanyak RM279 ribu daripada TEKUN NASIONAL yang disampaikan oleh pengurusnya, Salim Abidin untuk 77 orang mangsa yang terlibat.

30 orang anak yatim daripada Rumah Anak-anak Yatim Ar Raudhah juga turut diraikan dan menerima sumbangan dalam majlis yang dihadiri kira-kira 1000 orang.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada pemilik Kumpulan Rastamas, Tahir Picho yang sering melaksanakan kerja amal dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di seluruh negeri.

“Ini ialah contoh yang baik kerana berkongsi rezeki dengan golongan asnaf atau mereka yang kurang berkemampuan. Kita ucapkan syabas kepada beliau,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda