Skip to main content
Berita TempatanHomeWilayah Persekutuan

Lahir Pada Detik Merdeka – Mereka Ikon Negara

By 15 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Syed Hisham Shah (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – Rahmat dilahirkan sebagai anak merdeka, Nor Muhamad Ahmad, 60, atau lebih dikenali sebagai Mat Deka, semangat cintakan negara terus mekar dalam hidupnya apabila beliau memilih untuk menyertai pasukan tentera sebagai kerjayanya.

“Antara pengalaman sepanjang perkhidmatan, saya pernah bertempur menentang komunis di Yala, dan pada waktu itu tidak ada lain dalam fikiran saya selain mengembalikan keamanan kepada negara tercinta,” ujar veteran komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini.

Dilahirkan sebagai Anak Merdeka, Mat Deka tekad memastikan negara kekal aman dan sentosa.

Dilahirkan sebagai Anak Merdeka, Mat Deka tekad memastikan negara kekal aman dan sentosa.

Menyorot kembali awal kisah hidupnya, Mat Deka dilahirkan pada pukul 10 pagi, 31 Ogos 1957 di Parit, Perak. Menariknya, Mat Deka tidak keseorangan apabila seorang lagi penduduk kampung di situ turut melahirkan bayi lelaki pada hari yang sama.

“Sejurus selepas dilahirkan, saya dan seorang lagi bayi dibawa bertemu penghulu ketika itu. Kerana rahmat di lahirkan pada hari negara capai kemerdekaan, kami berdua dinamakan Nur Muhamad oleh penghulu tersebut,” katanya lagi.

Mat Deka cukup berbangga dengan keamanan yang dinikmati hari ini dan berharap agar keamanan ini terus dipelihara generasi seterusnya.

Sementara itu, seorang anak Malaysia, Margaret a/k Stephen Kurin, 54, dari Kuching, Sarawak menyifatkan kehidupan beliau adalah sebahagian daripada negara ini.

Menurut anak keempat daripada lima beradik ini, ketika dilahirkan beliau disambut oleh seluruh negara ketika itu.
“Saya dilahirkan sekitar pukul empat petang di mana waktu itu sambutan hari perisytiharan kemerdekaan Sabah dan Sarawak sedang berlangsung. Saat saya dilahirkan kedengaran 14 kali bedilan meriam.

“Saya masih ingat pesanan mendiang ibu saya yang seringkali mengingatkan saya untuk berjasa kepada negara kerana waktu dilahirkan dahulu, seluruh negara seakan turut menyambut kelahiran saya.

“Mendiang ibu turut berpesan agar manfaatkan diri sebaik mungkin untuk negara ini,” katanya menahan sebak teringat akan ibunya.

Margaret pernah berkhidmat dalam syarikat penerbangan negara Malaysian Airlines System (MAS) selama lebih 20 tahun dan antara individu yang terlibat dalam mempromosikan syarikat penerbangan tersebut dan negara ke serata dunia.

Ibrahim (tengah) bersama-sama sebahagian daripada Anak-Anak Malaysia di IPPTAR.

Ibrahim (tengah) bersama-sama sebahagian daripada Anak-Anak Malaysia di IPPTAR.

Margaret dan Mat Deka antara 22 orang mereka yang dilahirkan pada tanggal 31 Ogos dan 16 September yang diraikan oleh Jabatan Penerangan Malaysia dalam program Anak-Anak Malaysia hari ini.

Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman menjelaskan, inisiatif mengumpulkan mereka ini adalah untuk menanam semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

“Mereka yang dilahirkan pada tarikh keramat negara ini seharusnya dijadikan ikon untuk kita jadikan contoh dan tauladan, ujarnya dalam program Anak-Anak Malaysia di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), di sini siang tadi.

Ibrahim turut mengingatkan peranan dan tanggungjawab warga Malaysia dalam memastikan warga Malaysia mempunyai sifat patriotik yang tinggi.

“Sifat patriotik ini dapat diterjemahkan dalam pelbagai bentuk umpamanya menghormati hak orang lain. Kepentingan ramai itu menjadi sesuatu yang harus kita hormati berbanding dengan kepentingan individu,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda