Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajayaViralWilayah Persekutuan

Berkerusi Roda Untuk Lihat Anak Berkawad di Dataran Merdeka

By 29 Ogos 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto oleh: Diyana Zamri / Foto: Hazlina Tajuddin (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Seawal 6.00 pagi, Dataran Merdeka telah mula penuh dengan pasukan beruniform, para sukarelawan serta aktivis, media, orang awam dan juga pelancong asing.

Hujan renyai yang turun tidak menghalang Nur Zarinah Zainuddin, 33, untuk membawa keluarganya termasuk ayahnya yang berkerusi roda untuk sama-sama melihat raptai Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-60.

“Kami ke sini hari ini untuk melihat dan memberi sokongan kepada adik perempuan saya yang terlibat dalam kawad kaki pasukan beruniform Maritim (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, APMM).

“Dia dari Maritim yang berpusat di Gebeng, Pahang. Pada 31 Ogos nanti, berkemungkinan besar, kami sekeluarga tidak dapat hadir dengan keadaan ayah yang macam ini, jadi kami datang awal sebab hari ini raptai penuh untuk melihat dia.

“Adik saya belum dapat cuti lagi semenjak Hari Raya Aidilfitri hari itu, ini baru dapat nak jumpa. Jadi, ayah saya sendiri turut bersemangat untuk ke sini. Walaupun telah tiga tahun ayah diserang penyakit angin ahmar, namun demi adik, ayah sanggup ke sini dengan menaiki LRT,” ujarnya yang tinggal di Subang Bestari.

Nor Zarinah bersama anak, ibunya, Hasnah dan ayahnya, Zainuddin.

Nor Zarinah bersama anak, ibunya, Hasnah dan ayahnya, Zainuddin.

Nur Zarinah yang bekerja sendiri, mengambil keputusan untuk mula bekerja pada waktu petang, selepas tamatnya perarakan bagi membawa ayah dan emaknya bertemu dengan adiknya.

Tambahnya, dia sendiri pernah turut serta dalam perarakan sambutan Hari Kebangsaan sebelum ini.

“Sebenarnya, kami adik beradik memang dah sertai perbarisan Hari Kebangsaan ini daripada sekolah lagi, termasuklah saya. Tiga daripada enam adik beradik saya terlibat dengan perarakan seperti ini, angkat bendera, kawad kaki sempena merdeka dan macam-macam lagi.

“Kali terakhir saya sertai perarakan ini adalah pada tahun 1999, ketika saya masih bersekolah. Saya sertai di bawah pasukan beruniform Kadet Remaja Sekolah (KRS). KRS di sekolah saya memang aktif berkawad dan sebagainya. Apa-apa pertandingan kawad, pasti kami akan sertai. Sekolah saya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr. Ismail, selalu dijemput untuk turut serta dalam program-program seperti ini.

“Kami memang berbangga dapat sertai perarakan seperti ini dan memang tertunggu-tunggu setiap tahun, akan bertanya dengan cikgu, adakah sekolah kami akan sertai kawad Hari Kebangsaan, memang kami bersemangat untuk turut serta.

“Pernah sebelum ini kami berlatih sampai sebulan untuk membuat persiapan, dan saya tidak kisah waktu dan tenaga yang disumbangkan. Mak, ayah dan keluarga memang bagi sokongan kepada kami dalam hal ini,” jelasnya lagi.

WhatsApp Image 2017-08-29 at 3.23.18 PM

Dalam pada itu, ibunya, Hasnah Sulaiman, 60, berkata dia sering membawa anak-anaknya ke sambutan Hari Kebangsaan ketika mereka kecil dahulu.

“Masa umur mereka dalam empat hingga lima tahun, makcik selalu bawa mereka untuk melihat sambutan ini. Itulah yang anak-anak makcik ini jadi sayangkan negara. Makcik berbangga, anak-anak masuk perarakan ini dan juga rasa bersemangat dan seronok walaupun makcik sebagai penonton sahaja.

“Sebenarnya, dah lama makcik tak ke sini. Kali terakhir makcik tengok sendiri perarakan ini adalah pada tahun 2006, ketika anak bongsu makcik dalam Tingkatan Empat. Lepas itu, bila anak dah tak masuk, kita tengok di televisyen sahajalah,” katanya.

WhatsApp Image 2017-08-29 at 3.23.19 PM

Sambutan Hari Kebangsaan ke-60 ini melibatkan tenaga kerja yang terbesar dengan penglibatan hampir 20,000 peserta melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan antaranya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pasukan Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelajar-pelajar sekolah.

– AH

Tinggalkan komen anda