Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajayaViralWilayah Persekutuan

Pelancong Teruja Saksi Raptai Hari Kebangsaan Ke-60

By 29 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan oleh: Diyana Zamri / Foto: Hazlina Tajuddin (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Kehebatan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-60 menarik pelbagai lapisan masyarakat untuk turut serta melihat aksi raptai perbarisan dan konvoi kenderaan pelbagai pasukan beruniform dan awam di Dataran Merdeka, di sini termasuklah pelancong tempatan dan luar negara, hari ini.

Menurut dua orang pelancong dari Austria, Andreas Siler dan Martin Nguyen, masing-masing 22 tahun, mereka baru sahaja tiba di Malaysia hari ini dan terjumpa dengan perarakan ini secara kebetulan.

“Kami secara tidak sengaja terjumpa dengan sambutan ini dan ia nampak cantik dan mengagumkan. Kami sangat teruja dengan perarakan ini. Ini merupakan kali pertama kami ke negara ini.

“Malaysia nampak seperti sebuah negara antarabangsa. Kami dah pergi ke beberapa negara di Asia Tenggara selama beberapa bulan ini, melancong bersama rakan-rakan, dan rakyat mereka kebanyakannya satu bangsa sahaja. Tetapi di sini, rakyatnya pelbagai dan berbilang kaum,” ujar Andreas gembira.

Martin Nguyen (kiri) dan Andreas Siler (kanan) yang pertama kali datang ke Malaysia, teruja berpeluang melihat raptai Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia.

Martin Nguyen (kiri) dan Andreas Siler (kanan) yang pertama kali datang ke Malaysia, teruja berpeluang melihat raptai Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia. [Foto: Diyana Zamri]

Andreas dan Martin akan melancong di Malaysia selama tiga hari sebelum meneruskan jelajah Asia Tenggara mereka ke Singapura.

Selain itu, pasangan pelancong dari Wuhan, China, Yan Qi, 28, dan Yangyang Zhu, 24, juga pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia.

“Kami baru dua hari di sini. Kami baru tiba di dataran ini sebenarnya tetapi daripada apa yang dapat kami lihat, sambutan hari ini sangat mengagumkan dan ‘one of a kind’. Penduduk di sini juga sangat baik. Selain itu, seni bina di sini juga berbeza, ia sungguh menarik dan unik,” kata Yan Qi.

Yan Qi (kiri) dan Yangyang Zhu (kanan) kagum dengan Perarakan Hari Kebangsaan dan keunikan seni bina di Malaysia.

Yan Qi (kiri) dan Yangyang Zhu (kanan) kagum dengan Perarakan Hari Kebangsaan dan keunikan seni bina di Malaysia. [Foto: Diyana Zamri]

Tambah Yangyang, mereka bercuti di Malaysia selama sembilan hari, empat hari di Kuala Lumpur dan selebihnya merea akan ke Kota Kinabalu, Sabah.

Sementara itu, seorang pelancong dari Samarkand, Uzbekistan yang tidak ingin namanya dikenali berkata dia baru dua hari tiba di Malaysia dan berasa sangat teruja dengan perarakan ini.

“Saya sangat gembira hari ini. Malaysia sebuah negara yang cantik dan rakyatnya juga baik-baik. Saya juga sungguh seronok dapat melihat perarakan pada hari ini.

“Kebetulan pula, 1 September akan datang ini merupakan hari kebangsaan untuk negara saya pula,” ujarnya yang melancong ke sini bersama suaminya dan bakal pulang ke Uzbekistan esok.

– AH

Tinggalkan komen anda