Skip to main content
Berita TempatanSabah

Ibu Sebak Wakil Mendiang Anak Terima Diploma

By 8 Ogos 2017Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Nasrie Tapisil (Sabah)

KOTA KINABALU, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Maggi Tanjong, 56 menahan sebak saat mewakili mendiang anaknya menerima sijil diploma di Politeknik Kota Kinabalu (PKK) hari ini.

Anaknya, Clinton Lindam, pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat kemalangan motosikal dan disahkan meninggal dunia pada Mac lepas.

“Sememangnya saya berasa sedih namun pada masa yang sama gembira kerana anak saya berjaya menamatkan pengajian dan menerima sijil sebelum dia meninggal,” ujar Maggi kepada pemberita selepas majlis.

Mengimbau semula detik sebelum kemalangan berlaku, menurut Maggi anaknya kelihatan resah dan kurang bercakap sebelum keluar untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan.

“Saya lihat dia duduk di ruang tamu sambil termenung dan beberapa kali keluar masuk dari bilik dan kelihatan resah sebelum dia melangkah keluar malam itu,” katanya.

Menurutnya, kejadian ngeri itu berlaku di kawasan yang sememangnya sering berlaku kemalangan, ditambah dengan keadaan yang agak gelap dan berbukit.

“Kereta yang dipandu Clinton terbalik dan dia tercampak ke luar kereta sebelum dilanggar lagi oleh kenderaan lain yang melalui kawasan yang sama,” ujar Maggi.

Maggi menambah dia terkejut ketika menerima khabar kemalangan tersebut daripada kawan baik mendiang yang datang ke rumah malam itu, namun mendiang sempat dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

“Pada mulanya sudah tentu saya merasa sedih, tetapi selepas 100 hari pemergian mendiang, kami sekeluarga mula dapat menerimanya, dan kami hanya mampu mendoakan kesejahteraan mendiang di sana,” kata Maggi.

Sebagai anak sulung, mendiang sememangnya harapan ibu bapanya malahan mendiang pernah berjanji untuk sentiasa memberikan ibunya wang setelah dia mendapat pekerjaan yang bagus kelak.

“Mendiang juga mengimpikan untuk memiliki kereta sendiri, maka bapanya telah membeli sebuah kereta baharu dengan niat dibelikan untuk mendiang bagi membantunya mencapai impian,” kata ibunya.

Al Said(tiga dari kiri) ketika menerima Anugerah Pengarah PKK

Al Said(tiga dari kiri) ketika menerima Anugerah Pengarah PKK

Mendiang Clinton merupakan antara 611 orang graduan daripada bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Elektrik, Perdagangan, Pelancongan dan Hospitaliti berjaya dilahirkan dalam Istiadat Konvokesyen kali ini.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berharap agar graduan PKK akan tampil lebih berani dan bijaksana mendepani cabaran dengan tidak memilih pekerjaan.

“Saya berharap para graduan mampu bersaing mempunyai nilai tambah yang diperlukan oleh pihak majikan dan mempunyai keyakinan diri untuk menceburi bidang keusahawanan,”ujarnya.

Pada masa yang sama, Tun Juhar turut berharap agar PKK akan terus komited dalam melaksanakan transformasi pendidikan negara khususnya ke arah mengarus perdanakan pendidikan, latihan teknik dan vokasional.

“Ini bagi memastikan keperluan tenaga pekerja berkemahiran tinggi dapat dihasilkan untuk pembangunan ekonomi yang berasaskan inovasi dan kreativiti,” katanya.

Tun Juhar(lapan dari kiri) bersama Zainab (10 dari kiri) dan ketua-ketua jabatan PKK.

Tun Juhar(lapan dari kiri) bersama Zainab (10 dari kiri) dan ketua-ketua jabatan PKK.

Sementara itu, Pengarah PKK, Zainab Othman berkata dari aspek pencapaian academic intelligence, peratus kelulusan pelajar PKK pada sesi Jun 2016 ialah sebanyak 99.7%.

“Pencapaian akademik yang cemerlang ini telah diterjemahkan menerusi kejayaan-kejayaan PKK menyertai pelbagai pertandingan bercirikan keusahawanan.

“Pertandingan tersebut fokus kepada inovasi, kreatif dan seni rekacipta berasakan kemajuan dalam bidang sains, teknologi dan maklumat sama ada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya.

Manakala dalam bidang kokurikulum khususnya bidang sukan telah banyak pertandingan yang disertai hingga ada yang muncul sebagai johan, naib johan dan ketiga baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa seperti dalam sukan seperti boling padang, olahraga dan bola sepak.

“Pencapaian cemerlang dalam bidang ini telah melayakkan PKK memenangi Anugerah Khas Politeknik Terbaik 2015 sempena Polytechnic Sports Excellence Awards 2015 (POLYSEA2015),” kata Zainab.

Kerren(kiri) ketika menerima Anugerah Graduan Cemerlang Industri Tahun 2016.

Kerren(kiri) ketika menerima Anugerah Graduan Cemerlang Industri Tahun 2016.

Tambahnya, kejayaan program Poly Home di Tawau yang melibatkan penyertaan pelajar dan pensyarah telah memberi pendedahan yang bermanfaat untuk PKK khususnya pelajar mendekatkan diri dengan masyarakat.

Pada masa yang sama, PKK menerusi program antarabangsa dan keusahawanan berjaya menjalin kerjasama dengan Politeknik Singapura menerusi “Learning Express Programme”.

“Kejayaan Dr. Melvin Mojikon yang memenangi Anugerah Best Paper Awards Sempena 3rd ASEAN Entrepreneurship Conference (AEC) 2016 @ Yogyakarta, Indonesia telah mengharumkan nama PKK sebagai salah sebuah politeknik yang berprestasi unggul,”ujarnya.

Pada majlis tersebut Anugerah Pengarah PKK Sesi Jun 2016 diterima oleh Al Said Utoh Karah, Anugerah Graduan Cemerlang Industri Tahun 2016 diterima oleh Kerren Kinidi manakala Anugerah Rakan Industri diterima oleh Ranhill Powertron.

SF

Tinggalkan komen anda