
Laporan oleh: Aimi Huwaina / Foto: Irwan Shah (Putrajaya)
KANGAR, 21 Ogos (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menegaskan bahawa resepi yang paling ampuh untuk membolehkan negara bermasyarakat majmuk mempertahankan kemerdekaan negara adalah dengan perpaduan.
“Resepi perpaduan itu ditambah baik dan diteruskan untuk mengisi perjuangan yang jauh lebih susah iaitu perjuangan mengisi kemerdekaan itu sendiri.
“Pada saya resepi yang kita ada itu perlu ditambah baik lagi kerana kita menghadapi cabaran-cabaran baharu pada masa kini,” katanya pada Majlis Pelancaran Kembara Merdeka Negaraku (KMN) 2017, di sini, semalam.
Konvoi KMN ini melibatkan 107 peserta yang telah bermula dari Batu Pahat, Johor dan Perlis merupakan destinasi yang ke-21 daripada 50 destinasi.
“Siri kembara ini merupakan suatu program yang sangat penting kerana ini salah satu daripada kaedah di mana kita boleh menghidupkan dan menguatkan kembali semangat patriotisme dan kesetiaan kepada negara.
“Kita nak pastikan kemerdekaan kita ini akan berkekalan dan begitu juga dengan kedaulatan negara kita,” katanya lagi.
Azlan berharap program sebegini akan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang pelbagai bangsa dan budaya.
Tambah Azlan, dia yakin bahawa perpaduan rakyat akan menjadi lebih kukuh pada masa akan datang.
KMN 2017 selama 16 hari ini bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotisme dan kesetiaan kepada negara, di samping menggalakkan kibaran jalur gemilang.