
Laporan oleh: Norhazlinawati Mat & Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur) / Foto: Muhairul Azman Supian
KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Pengalaman kali pertama turut serta dalam persembahan Hari Kebangsaan adalah sangat bermakna buat Maktab Tentera DiRaja (MTD) Kuala Lumpur.
Seramai 206 putera MTD telah terpilih dalam menjayakan persembahan Gerak Semangat yang bertemakan Negaraku, SehatiSejiwa sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-60 di Dataran Merdeka, di sini pada 31 Ogos ini.
Kompeni Sarjan Mejar Jurulatih, Ahmad Khairun Nuar Yahya berasa sangat bangga dan gembira atas kepercayaan yang diberikan untuk melatih peserta bagi persembahan Gerak Semangat ini.
“Latihan telah dimulakan sejak bulan Julai lagi bagi memastikan putera dapat memberikan persembahan terbaik di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV dan barisan keutamaan yang lain,” ujar Khairun.

Kompeni Sarjan Mejar Jurulatih, Ahmad Khairun Nuar Yahya yang bertanggungjawab melatih 206 putera MTD bagi persembahan Gerak Semangat.
Tambahnya, tiada masalah bagi melatih putera MTD ini memandangkan mereka tinggal di asrama.
Katanya lagi, walaupun waktu siang penuh dengan latihan, namun sesi pembelajaran dapat diganti balik pada sebelah malam bagi kesemua putera ini.
“Kelas tambahan juga akan diadakan mulai bulan September ini bagi mengejar balik silabus pembelajaran tingkatan empat mereka,” jelasnya lagi.

Kompeni Sarjan Mejar Jurulatih, Ahmad Khairun Nuar Yahya bersama putera MTD yang akan menyertai perarakan Sambutan Kebangsaan Ke-60.
Pentas Dataran Merdeka bakal menjadi saksi persembahan Gerak Semangat yang cukup bertenaga dari Putera MTD buat julung kalinya.
– AH