Skip to main content
Berita TempatanPahang

Tulisan Jawi, Melayu, Cina Aku Negaraku Curi Tumpuan

By 29 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan
Oleh: Ismael Idris / Foto: Ahmad Nizam (Pekan)

PEKAN, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Apabila melalui Jalan Tengku Arif Bendahara di Bandar Pekan pasti mata terpukau melihat hiasan kemerdekaan di kedai Pusat Dobi Bersih dengan tulisan Jawi “Aku Negaraku” yang dicampur dengan tulisan Cina 1Malaysia Negaraku.

Kedai tersebut telah beroperasi selama 28 tahun oleh Ng Yong Liang, 75 yang merupakan anak jati Pekan, Pahang itu menarik perhatian orang ramai khususnya di bandar Pekan apabila melihat hiasan kedainya di hadapan pintu tergantung satu kain rentang yang terdapat tulisan Jawi, Melayu dan Cina.

Yong Liang ketika menulis perkataan jawi

Yong Liang ketika menulis perkataan jawi

Menurut Yong Liang yang ditemui di kedainya pagi tadi, setiap kali menjelang bulan kemerdekaan dia akan menunggu pengumuman tema hari kebangsaan pada tahun tersebut untuk membuat hiasan di kedainya sempena meraikan semangat patriotik.

“Hiasan ini dihasilkan kerana kasih dan cinta saya kepada negara ini. Untuk membuat hiasan seperti ini tidak mengambil masa yang lama hanya mengambil masa tiga jam untuk saya menyiapkan hiasan di kain ini dan tidak melibatkan kos yang tinggi untuk membuatnya.

“Tidak ada alasan kalau ada yang mengatakan perlu melibatkan kos yang tinggi dan mengambil masa yang lama untuk membuat hiasan seperti ini. Apa yang penting niat, hasrat dan minat perlu ada maka pasti akan mendapat hasilnya,” jelasnya

Hasil hiasan di Kedai Yong Liang

Hasil hiasan di Kedai Yong Liang

Yong Liang turut menjelaskan dia mula pandai menulis jawi seawal 15 tahun.

“Pada masa itu juga kerajaan menggalakkan semua papan tanda ditulis dalam tulisan jawi. Oleh sebab minat yang mendalam untuk menulis jawi maka saya belajar dengan seorang guru Melayu pada masa itu.

“Saya juga sentiasa menjadikan buku tulisan jawi dan rumi sebagai rujukan untuk menulis agar tidak tersalah ketika menulis. Saya tidak menggunakan pen khas untuk menulis tulisan jawi tetapi hanya menggunakan dua batang pensel sahaja,” katanya yang fasih berbahasa Melayu dialek Pekan, bahasa Cina dan juga bahasa Inggeris.

Dalam pada itu, Yong Liang turut menzahirkan pandangan tentang perubahan Malaydia dahulu dan sekarang.

“Dahulu negara tidak pesat membangun seperti sekarang. Lihat sahaja negara kita, kini begitu pesat membangun dan terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan berbanding pada masa yang lalu.

“Saya berharap agar walau apa-apa jua yang berlaku, negara kita patut dipertahankan kerana ini tumpah darah kita, jangan ada hasad dengki, dan jangan bergaduh sesama sendiri. Kita 1Malaysia Sehati Sejiwa,Negaraku Malaysia,” jelasnya lagi.

SF

Tinggalkan komen anda