Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakPutrajayaWilayah Persekutuan

Tiga Jenis Silat Sambut Konvoi KMN 2017

By 24 Ogos 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan oleh: Diyana Zamri / Foto: Irwan Shah (Putrajaya)

SITIAWAN, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Ketibaan konvoi Kembara Merdeka Negaraku (KMN) 2017 di hari kedua belasnya ini disambut dengan tiga jenis silat di lokasi ke-31 di Dataran Komuniti Bestari, Mukim Lekir, di sini, hari ini.

Tiga silat tersebut ialah Kerayong Sendeng, Gerak Sendi Naga, dan Gerak Sendi Rimau dipersembahkan penuh bertenaga oleh lima orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 10 Lekir.

Mohamad Izzat Haikal Abdul Halim

Mohamad Izzat Haikal Abdul Halim

Menurut salah seorang pelajar tersebut, Mohamad Izzat Haikal Abdul Halim, 16, dia yang mempelajari silat Kerayong Sendeng dari umurnya empat tahun.

“Saya sebenarnya dipaksa oleh ayah untuk masuk silat kerana ayah merupakan guru silat di Kampung Sungai Tiram. Tapi, apabila dah lama pelajari silat ni, saya mula meminatinya dan ingin mempelajari sampai habis,” jelasnya.

Mohamad Izzat dirawat oleh Anggota Pertahanan Awam yang mengikuti konvoi KMN 2017.

Mohamad Izzat dirawat oleh Anggota Pertahanan Awam yang mengikuti konvoi KMN 2017.

Izzat yang cedera di tapak kaki akibat persembahan tadi memberitahu kecederaan seperti itu terjadi sekali-sekala dan terjadi sebab silap sendiri.

“Kalau ikut step yang betul ketika latihan, kecederaan macam ini boleh dielakkan. Walaupun kadang-kadang, ia memang tidak dapat dielakkan.

IMG_4623

“Sebelum ini, pernah terjadi sekali rakan saya tertusuk keris ketika latihan. Nasib baik hanya baju sahaja yang terkoyak tapi perut lebam sikit. Parang pun pernah juga putus akibat berlaga,” ujarnya lagi.

Tambahnya, silat ini bagus untuk pembentukan jati diri dan di waktu yang sama, boleh digunakan untuk mempertahankan diri dari bahaya.

Noorsyawal Alliah Md Rashid

Noorsyawal Alliah Md Rashid

Manakala rakannya, Noorsyawal Alliah Md Rashid, 16, turut bersetuju dengannya.

“Sebagai perempuan, perlu juga tahu seni pertahankan diri dan tidak boleh mengharapkan orang lelaki sahaja.

“Saya memang suka silat sejak dari dulu lagi kerana keturunan saya merupakan keturunan silat. Jadi, bila ada silat ni, saya rasa yakin dengan diri sendiri terutamanya bila ada bahaya,” ujarnya yang mula belajar silat dari umurnya sembilan tahun.

Tambahnya, di rumahnya ada gelanggang silat sendiri yang turut disertai oleh anak-anak sekampung yang lain.

“Arwah ayah saya dahulu merupakan guru silat Kerayong Sendeng. Selepas dia meninggal, kami adik-beradik perempuan meneruskan sendiri pembelajaran silat,” ujar anak ketiga daripada lima adik-beradik.

Siti Farah Harnani Ishak

Siti Farah Harnani Ishak

Selain itu, seorang lagi pelajar, Siti Farah Harnani Ishak, 16, belajar silat Gerak Sendi Naga.

“Silat kami ini lebih kurang sama sahaja sebab Gerak Sendi Naga ini ditukar sebenarnya. Sebelum ini merupakan silat Gayong. Bezanya dari segi ‘step’ sahaja.

“Persatuan ini baru ditubuhkan tahun ini oleh 17 orang guru untuk membesarkan lagi persatuan ini,” jelasnya.

Untuk persembahan kali ini, Farah berkata dia dan Noorsyawal bersama-sama mencari idea untuk menggabungkan seni silat mereka kerana terdapat perbezaan jenis silat di antara mereka.

“Seni silat kami lain-lain jadi kami reka sendiri gerak silat untuk persembahan hari ini,” ujarnya lagi.

Dua lagi rakan mereka ialah Ruhaizal Romadzon, 15 dan M. Azhad Asfa Alang Hashim, 16, yang mempelajari silat Gerak Sendi Rimau turut bersama-sama membuat persembahan penuh bertenaga sehingga menyebabkan orang ramai cukup teruja.

Guru Penasihat Kelab Silat Kerayong Sendeng SMK Batu 10 Lekir, Abdul Halim Mahmud

Guru Penasihat Kelab Silat Kerayong Sendeng SMK Batu 10 Lekir, Abdul Halim Mahmud

Dalam pada itu, Guru Penasihat Kelab Silat Kerayong Sendeng SMK Batu 10 Lekir, Abdul Halim Mahmud, 40, berkata silat ini mampu membentuk diri yang lebih berdisiplin.

“Memang itulah matlamatnya. Disiplin yang diterapkan dalam silat, masa berlatih mereka kena berdiri, ikut peraturan guru silat. Di samping itu, ada juga keberanian diri berhadapan dengan masyarakat.

Selain itu, dengan ilmu ini, dia boleh pertahankan diri dan juga mungkin dia dapat bantu orang lain. Dan orang pun, kalau tahu dia ada ilmu ini, tidak akan sewenang-wenangnya nak kacau dia,” ujarnya.

Tinggalkan komen anda