
Laporan dan foto : Norhafizah Abd Rahim & Shuhaimi Ahmad
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu (SESTER) dinobatkan sebagai juara Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1Malaysia peringkat negeri, semalam.
Kumpulan SESTER yang dianggotai oleh lima pelajar sekolah itu mempersembahkan sketsa berjudul ‘Memori Terindah’ telah berjaya mencuri hati juri pertandingan dan dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500, sijil beserta plak.
Tempat kedua dan ketiga, masing-masing yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000 dan RM500 beserta sijil penyertaan dan plak, dimenangi oleh Kumpulan Kubest dari Sekolah Menegah Kuala Besut dan Kumpulan Akar Merchang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang.
Menurut Mohamad Azzamudin Azman, peserta sketsa, program seumpama ini mampu menjadi platform penting bagi pelajar mengasah bakat terpendam.
“Program sebegini bukan sahaja memberi ruang kepada para pelajar mengasah bakat dalam bidang lakonan malah turut didedahkan mengenai isu kenegaraan dengan lebih mendalam menerusi pengumpulan bahan-bahan untuk dijadikan sketsa,” jelas Azzamudin.
Sementara itu, Zaidatul Azwa Roslan, 17, pelajar SESTER menyifatkan pertandingan ini sebagai medium memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar sekolah.
“Mesej-mesej yang berkaitan kenegaraan dapat disalurkan kepada rakan-rakan pelajar yang lain melalui program seperti ini,” ujarnya.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Nasrudin H. Mahmud.
Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Nasrudin H. Mahmud cukup berbesar hati dengan penyertaan daripada pelajar-pelajar sekolah di negeri tersebut kali ini.
“Sebagai generasi Y yang mewarisi kemerdekaan ini daripada warisan terdahulu seharusnya mengisi kemerdekaan ini dengan cara tersendiri iaitu berjaya dalam pelajaran dan menjadi pemimpin-pemimpin profesional pada masa akan datang.
“Dengan adanya pemimpin yang berjati diri unggul, maka kemerdekaan yang dikecapi dapat dikekalkan,” katanya lagi.