
Laporan oleh: Fauzrina Bulka / Foto: Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 16 Sept (Malaysiaaktif) – Kamus yang mengandungi sejumlah 6,000 perkataan dalam Bahasa Bajausama dengan 232 muka surat dilancarkan setelah diusahakan sejak 17 tahun lalu di sini hari ini.
Kamus yang dihasilkan oleh ahli-ahli Persatuan Bahasa dan Budaya Sama Kota Belud itu ditulis dan diterjemahkan kepada Bahasa Melayu dan Inggeris atas inisiatif mereka yang rasa bertanggungjawab untuk memelihara bahasa tersebut supaya tidak pupus.
Pengerusinya, Chendramata Sinteh berkata kebanyakan masyarakat Bajau di kampung-kampung kini termasuklah ahli keluarganya sendiri bertutur sesama mereka menggunakan Bahasa Melayu.
“Persatuan merasakan jika tiada kajian dimulakan untuk kamus tersebut, kami tidak dapat melahirkan satu bentuk penulisan yang boleh dibaca di masa akan datang untuk generasi kita.
“Bahasa Kadazan Dusun pada ketika itu sudah dimasukkan dalam mata pelajaran di sekolah-sekolah, dan kami juga turut menerima tekanan daripada luar untuk melakukan cadangan ini.
“Maka cabaran-cabaran ini kami ambil dan seterusnya saya menubuhkan satu jawatankuasa untuk kami mula mengembangkan Bahasa Bajau itu sendiri pada tahun 90-an,”jelasnya.
Menurut Chendramata, mereka turut menghadapi masalah untuk melakukannya kerana ketiadaan pakar linguistik pada ketika itu, ditambah lagi Bahasa Bajau sendiri belum diperkenalkan di mana-mana universiti.
“Bila kami buat kajian, kami terjumpa sebuah buku yang mengkaji mengenai Bahasa Bajau. Buku itu kami ambil sebagai asas dan lanjutkan usaha tersebut dengan mengadakan bengkel Bahasa Bajau,” katanya.
Pada masa yang sama, The Institute of Linguistics melalui Doktor Mark Miller datang ke Sabah dan menyatakan keinginan untuk mempelajari Bahasa Bajau di negeri Sabah sebagai kajian untuk Master dan Phd.
“Kira-kira 30 bengkel telah dijalankan bagi sepanjang tempoh 17 tahun itu dan lima tahun kebelakangan ini kami lebih aktif.
“Selepas melakukan ortografi dan dipersetujui oleh ahli-ahli bengkel secara konsensus, kami memutuskan cara Bahasa Bajau itu dieja berdasarkan bagaimana ia disebut.
“Bertahun-tahun kami melakukan simulasi demi simulasi dan buat sistem ejaan sebelum melangkah untuk proses membuat kamus,” jelas Chendramata lagi.
Katanya, mereka turut membuka Taska Bahasa Bajau secara percuma, namun berikutan kekurangan murid kerana kurang promosi, maka projek itu dianggap umpama ‘Pirate Project’.
Namun dalam tempoh dua tahun itu, mereka sempat menjalankan dua kali Majlis Graduasi yang melibatkan seramai 20 pelajar.
“Dalam teori yang diperkatakan oleh pakar linguistik daripada Amerika, kalau kita belajar dalam bahasa ibunda terlebih dahulu, kita akan lebih pintar untuk memahami bahasa-bahasa lain.
“Sebagai salah satu cara promosi dan menarik minat orang untuk membaca kamus ini, kami telah mengedarkannya ke semua perpustakaan yang ada di negeri ini kerana yakin ramai yang akan dapat membacanya.
“Kami juga suda berbincang dengan Pengarah Perpustaakaan Kota Belud agar dapat menggunakan sedikit ruang disana bagi membuka galeri khusus untuk budaya dan Bahasa Bajau,” ujarnya.
Jelas Chendramata lagi, jika ada kajian-kajian pada masa akan datang yang ingin dilakukan berkaitan Bajau, ia boleh dibuat di perpustakaan Kota Belud berbanding di tempat lain yang mungkin agak terhad bahan rujukannya.
Bagi perancangan seterusnya, persatuan turut merancang untuk menerbitkan buku frasa tentang cara untuk membuat ayat daripada perkataan yang diterjemah di kamus dan perancangan ini turut mendapat sokongan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Tambah Chendramata, dia berharap agar kamus tersebut akan menjadi satu khazanah dan dapat memulihara Bahasa Bajau, disamping memperbanyakkan lagi penulisan-penulisan dalam bahasa ini untuk dipelajari oleh anak-anak muda daripada pelbagai bangsa.
Sementara itu, Salleh dalam ucapannya berkata penerbitan terulung buku ini merupakan lembaran sejarah baharu, khusus untuk Bajausama.
“Setelah ratusan tahun orang Bajau menggunakan Bahasa Bajausama secara lisan, akhirnya sekarang ini sistem ejaan dan perkataan berjaya dibentuk dan diterima pakai serta dibukukan untuk rujukan.
“Justeru status bahasa ini akan melonjak naik ke satu tahap dan disiplin penggunaannya lebih jelas serta nilainya akan lebih berkualiti,” ujar Salleh.
Menurut Salleh, dia selaku Penasihat Persatuan Bahasa dan Budaya Bajausama mengikuti sendiri perkembangan usaha untuk menerbitkan kamus ini yang memakan masa bertahun.
“Usaha yang begitu lama ini sangat mahal dan bermakna kerana selain daripada berjaya melunaskan amanah daripada datuk nenek yang ingin melihat bahasa ini tetap unggul bersama masa, ia juga sebagai penebus maruah anak cucu yang akan datang,” katanya lagi.
Majlis pelancaran yang di adakan di Universiti Malaysia Sabah ini turut dihadiri oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Dr D Kamaruddin D Mudin dan Juruperunding Penerbitan Kamus Asas Bahasa Bajausama, Dr Mark Miller.