Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Bau Sedap Buat Ramai Borong Ikan Masin Leking Kota Belud

By 16 September 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Β Laporan dan foto oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

KOTA BELUD, 16 Sep (Malaysiaaktif) – “Istimewanya ikan masin leking Kota Belud ini, kalau makan satu piring biasanya kena tambah jadi dua piring. Macam jarak ke restoran depan ini dalam 100 meter kan, sampai ke situlah aromanya dapat kita bau”.

Demikian kata Misdaranah Rimin, 60, dan isterinya Imbahan Wahab, 56, ketika ditemui di Pasar Tamu di sini pagi tadi.

Imbahan berkongsi cerita pelanggan yang banyak memborong ikan masin leking ini.

Imbahan berkongsi cerita pelanggan yang banyak memborong ikan masin leking ini.

Imbahan turut berkongsi cerita tentang ramainya peminat ikan masin leking ini.

“Biasanya ikan masin leking ini kita guna ikan talang. Kebanyakan orang suka goreng dan bakar tidak kira untuk sarapan, makan tengah hari atau makan malam.

“Pernah ketika bulan puasa baru-baru ini, ada orang beli sehingga RM4,500 untuk bawa balik Kuala Lumpur. Memang setiap pengunjung ke sini pastinya memborong ikan masin ini sebagai buah tangan.

“Walaupun harga ditentukan mengikut musim (biasanya RM18 hingga RM20 mengikut potongan) kerana ketika musim hujan pastinya tidak banyak tangkapan ikan namun ramai yang tetap singgah. terutama ketika Pasar Tamu Hari Minggu,” jelasnya yang telah berniaga sejak lebih 10 tahun lalu.

Misdaranah turut berkongsi kisah Kota Belud yang banyak berubah seiring dengan 60 tahun kemerdekaan negara.

“Jika dahulu jalan berhabuk, sekarang banyak yang sudah berturap dan memudahkan perjalanan. Bukan itu sahaja, kita juga tiada masalah untuk berhubung walaupun dari jarak yang jauh.

“Saya melihat keunikan masyarakat Malaysia ini dari segi sikap ringan tulang dalam aktiviti kemasyarakatan sepertu gotong-royong yang melibatkan banyak kaum,” jelasnya.

Rajian bersama-sama jualannya di Pasar Tamu Kota Belud.

Rajian bersama-sama jualannya di Pasar Tamu Kota Belud.

Sementara itu, bagi seorang lagi peniaga dari Kampung Sembirai, Rajian Dumpil, 52, ikan masin ini memang mempunyai keistimewaanya yang tersendiri berbanding ikan masin lain.

“Biasanya kita guna ikan lari, ikan ruman, dan ikan kembung untuk dijadikan ikan masin leking.

“Kalau yang bertulang biasa dimasak bersama sayur. Isinya digoreng kemudian perah dengan limau. Jika digoreng dengan lada pun sedap,” jelasnya yang menerima ramai pengunjungnya dari Keningau, Temparuli, mahupun dari Semenanjung.

Rajian yang berketurunan Dusun-Bajau itu turut berasa bangga dengan kepelbagaian kaum yang wujud di Malaysia.

“Di Malaysia ini, tidak kira bangsa seperti Bajau, Dusun, Iranun, semua di sini boleh duduk sama-sama melakukan sesuatu aktiviti.

“Pada Hari Malaysia ini contohnya ramai yang mengambil kesempatan untuk memenuhi Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu untuk meraikan kesepaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Perpaduan yang wujud ini menyebabkan kita berasa selamat. Buktinya, ramai pelancong yang datang dan kita bebas daripada peperangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, sambutan Hari Kebangsaan 2017 akan diadakan pada 8.00 malam ini di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda