Skip to main content
Berita TempatanSabah

Berniaga Sendiri Lebih Seronok Berbanding Makan Gaji

By 29 September 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Mohd Nasrie Tapisil (Sabah)

KOTA KINABALU, 29 Sep (Malaysiaaktif) – “Pada pendapat saya, berniaga sendiri lebih seronok berbanding makan gaji kerana untung rugi kita tanggung sendiri.
“Saya tidak maksudkan bekerja makan gaji itu tidak bagus, elok juga untuk cari pengalaman dan dapat rasa bekerja secara berkumpulan,” ujar peserta Pertandingan Projex 15, Akmal Shahira Jaini.

Akmal dan rakan sekumpulannya, Nurul Errina Irwan yang merupakan pelajar semester lima Diploma Hotel dan Katering yang menghasilkan Sambal Salacca sebagai produk inovasi yang berasaskan buah salak.

“Kami harap produk kami tembus di pasaran nanti dan berharap jika sudah habiskan pengajian sekurang-kuurangnya kami suda ada produk yang terhasil.

“Buat masa sekarang ni saya mahu cari duit sebab rasa segan sudah dewasa tapi masih ditanggung.

“Saya tahu dan faham alam pekerjaan memang sangat mencabar dan jauh berbeza berbanding masih belajar, tapi saya mahu rasa juga cari duit sendiri,” kata Akmal.
Menurutnya, tercetus idea mahu jadikan buah salak sebagai sambal kerana kurangnya pilihan sambal di pasaran yang dihasilkan daripada buah-buahan.

“Selain itu, salak ni sejenis buah yang sukar dibuka kulitnya jadi dengan adanya produk sambal ini. Pengguna tidak perlu menghadapi proses buka kulit itu,” katanya yang mengakui memasukkan sedikit resepi sambal ibunya dalam pembikinan produk ini.

“Dua bulan juga kami buat uji kaji rasa, tekstur dan warna, kalau tidak sesuai, kami ubah lagi cara memasaknya hinggakan penjual salak juga bertanya sebab kami banyak memborong salak jualannya,” kata Akmal berkongsi pengalamannya.
Mujur ibu bapa mereka memahami projek yang perlu mereka selesaikan, dan tidak kisah membelanjakan hampir RM1000 bagi mendapatkan produk akhir yang diingini.

Sementara itu, peserta yang menghasilkan produk inovasi Aiskrim Pulut Tapai, Amirah Arifin dan Mohd Fazrul Naim Feranchis berkata mereka terpaksa mencari idea lain apabila percubaan pertama menghasilkan aiskrim menggunakan umbut kelapa tidak menjadi.

“Penyelia menasihati kami untuk cuba membuat aiskrim daripada bahan lain yang mempunyai rasa kuat kerana umbut kelapa yang kami gunakan mempunyai kurang rasa.

“Di situlah idea menggunakan tapai itu timbul, dan kami menghabiskan tempoh selama tiga bulan untuk mendapatkan tekstur dan rasa yang tepat.

“Dari segi nama aiskrim itu sendiri pun sudah menjadi tanda tanya, sebab itu kami cuba menghasilkan aiskrim perisa tapai ini,” ujar Amirah.

Jelasnya, mereka menerima komen yang agak baik daripada analisis yang dijalankan dan sejurus mendengar nama aiskrim ini, semua tertanya-tanya bentuk dan rasa aiskrim tapai ini.

“Ada juga yang bertanya jika aiskrim ini memabukkan, tapi selepas mereka merasainya semua persoalan tersebut terjawab sendiri dan memuji penghasilan aiskrim ini idea yang bagus.

Amirah dan Fazrul yang merupakan pelajar semester akhir Kursus Pengurusan Hotel berharap agar masyarakat dapat menerima produk yang mereka hasilkan dan seterusnya turut sama menyokong produk tempatan.
Dalam pada itu, Ketua Panel Penilai Projex 15, Chef Dr. Kamarul Hasni Che Rose memuji idea dan keyakinan yang dihasilkan dan ditunjukkan oleh peserta-peserta Politeknik Kota Kinabalu dalam program tersebut.

“Langkah seterusnya adalah dengan mendapatkan lebih pandangan daripada pihak industri dan penyelia masing-masing memgenai produk yang telah dihasilkan dan kesuaian untuk dikomersialkan,” ujarnya.

Menurut Kamarul, tugas pensyarah, penyelia dan pemain industri untuk bantu tunjuk arah mereka, jangan sampai produk yang bagus tidak boleh dijual kerana pengakhirannya nanti, mereka ingin membuat pendapatan daripadanya.
“Saya sering ingatkan mereka, jika produk yang mereka buat itu baik dan ada pelabur daripada luar yang berminat, pada bila-bila masa mereka boleh jadi jutawan.

“Pelabur menunggu masa yang sesuai, jadi bila smpai masanya, mereka perlu bersedia kerana mereka ada produk dan jenama seterusnya mereka kena tahu dari segi paten dan hak cipta pula,” ujar Kamarul yang berpengalaman menjadi ahli akademik selama 13 tahun.
“Saya dahulu seorang ahli akademik dan sekarang saya berada di industri jadi saya boleh menjadi kedua-dua bahagian ini dan saya faham teknik melatih pelajar untuk membuat produk dan pada masa yang sama tahu keperluan industri.
“Bagi saya ada tiga pihak yang penting di sini aitu pihak penyelia, pelajar dan pemain industri dan kita kena gabung.
Insya-Allah jika produk yang akan dibuat selepas ini bagus dan mempunyai nilai untuk dikomersialkan, segalanya akan jadi mudah,” ujarnya.

SF

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda