Skip to main content
Berita TempatanSabah

SOP Baharu Tangani Isu Pengeboman Ikan

By 29 September 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan: Zuraidah Ahmad / Foto: Abdullah Sani Ariff Lokhman (Sabah)

KOTA KINABALU, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan akan memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mendepani isu pengeboman ikan, khususnya di kawasan pelantar minyak.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara Sabah, Datuk Rodzi Mohd Saad berkata langkah itu diputuskan Jawatankuasa Keselamatan Kerajaan Negeri (JKKKN) Sabah yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

“Kumpulan Keselamatan Kerajaan Negeri ini telah mengambil maklum tentang isu ini dan mendapati trend peningkatan jumlah pencerobohan nelayan di kawasan operasi pelantar minyak ini semakin meningkat.

“Susulan itu, keputusan dibuat bahawa kita akan melihat dari aspek perundangan, terma rujukan, kerjasama agensi, bagaimana kita boleh meminimumkan masalah ini.

“Untuk itu, kita datang dan melihat dengan lebih dekat perkara ini dan selepas ini kita akan mengadakan perbincangan dengan lebih mendalam bersama semua agensi dan operator-operator cari gali  untuk menghasilkan satu terma atau SOP baharu yang boleh mengawal ancaman keselamatan khususnya berhubung isu pengeboman ikan.

“Gerak kerja pada hari ini membuktikan kerajaan sentiasa meletakkan kepentingan keselamatan di tahap yang tinggi sepanjang masa untuk melindungi rakyat daripada sebarang ancaman.

“Begitu juga dalam kes ancaman bom ikan yang mempunyai risiko yang besar kerana setiap pelantar ini dihubungkan dengan paip minyak antara satu dengan lain.

“Jika berlaku kebakaran berlaku akan membawa bencana di kawasan itu dan kita berusaha supaya perkara ini tidak berlaku dengan memulakan tindakan penting dari sekarang melalui kerjasama semua agensi.

“Selain itu, kita juga akan kerugian besar dalam industri pelancongan kerana pengeboman ikan ini sekaligus akan merosakkan batu karang di negeri ini,” jelasnya.

Rodzi berkata demikian selepas Program Lawatan Kerja Kumpulan Keselamtan Kerajaan Negeri ke Pelantar Minyak Pantai Barat dengan menaiki KM Arau di sini, pada Rabu.

Lawatan sehari itu berlepas dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Sepanggar pada 8.30 pagi bagi meninjau ke Pelantar Minyak St Joseph, South Furious dan Button dan melalui RSS Pulau Mantanani diiringi sebuah kapal APMM sejuah 45 batu nautika.

Katanya, selepas ini kumpulan berkenaan akan mengadakan bengkel antara operator syarikat minyak dengan agensi-agensi penguatkuasaan untuk mewujudkan kerjasama bagi membendung masalah tersebut.

“Saya yakin perkara ini harus menjadi tanggungjawab semua pihak sama ada kerajaan atau operator pelantar minyak perlu memainkan peranan penting.

“Di samping itu, masyarakat perlu memberi perhatian aktiviti mengebom ikan itu ialah satu kesalahan di sisi undang-undang dan mesti dibendung melalui kerjasama semua,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Mohd Zubil Matsom mendedahkan setakat September tahun ini, terdapat 773 kes tangkapan dibuat pihaknya.

“Sehingga hari ini, kita sudah membuat 773 tangkapan termasuk kes nelayan yang menceroboh ke dalam kawasan kurang 500 meter dari pelantar minyak.

“Mereka terdiri daripada nelayan tempatan dan juga warga asing yang digajikan oleh majikan untuk menangkap ikan.

“Paling membimbangkan, kita menerima aduan daripada operator pelantar minyak yang mendapati ada nelayan yang menceroboh dan memasak menggunakan gas di bawah tiang-tiang pelantar.

“Ini ancaman serius dan kita sedang menelitinya secara lebih dekat melalui jawatankuasa ini bagi memastikan aspek keselamatan bukan sahaja kepada diri nelayan itu tetapi juga beratus nyawa pekerja di pelantar berkenaan,” jelasnya.

Menurutnya, di Sabah terdapat 17 buah pelantar minyak dan semuanya berada di Pantai Barat negeri ini.

SF

Tinggalkan komen anda