Skip to main content
Berita TempatanLabuanWilayah Persekutuan

Dialog Masyarakat, Jabatan Kerajaan Perlu Disebar Luas

By 23 September 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian

LABUAN, 23 Sep (Malaysiaaktif)- “Dialog antara rakyat khususnya masyarakat kampung dengan jabatan-jabatan kerajaan di Labuan ini perlu disebarluaskan bukan sahaja di sesebuah kampung bahkan perlu dianjurkan ke semua 27 buah kampung yang terdapat di Wilayah Persekutuan ini”.

Demikian ujar Ketua Kampung Lubuk Temiang, Nordin Ahmad pada Majlis Dialog Mesra Rakyat sempena Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR) 2017 anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan di Balai Raya Kampung Lubuk Temiang, di sini, petang tadi.

Tambah Nordin lagi, dialog seumpama ini amat perlu sebagai platform terbaik kepada masyarakat kampung amnya bagi meluahkan dan mengajukan persoalan khususnya melibatkan sistem penyampaian kerajaan kepada mereka.

“Contohnya di kawasan saya ini, golongan nelayan merupakan pekerjaan utama bagi penduduk. Justeru, permasalahan dan isu tentang penangkapan ikan merupakan persolan lazim yang boleh diutarakan melalui dialog ini,” ujarnya.

Nurhazwani

Nurhazwani menghargai dialog yang diadakan

Bagi penduduk Kampung Lubuk Temiang, Nurhazwani Muschari 25, dia begitu menghargai usaha SPRM bersama dengan Jabatan Penerangan Labuan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Labuan serta Jabatan Perikanan Labuan dalam penganjuran dialog tersebut bagi menerangkan segala permasalahan rakyat serta isu yang berbangkit.

“Soalan-soalan tersebut yang dijawab sendiri oleh ketua-ketua jabatan yang dijemput membuktikan bahawa agensi dan jabatan kerajaan juga turut komited untuk turun padang bagi menjawab isu-isu yang diutarakan seperti isu kenaikan harga barang dan bahan api oleh pihak KPDNKK.

“Melalui dialog ini juga, masyarakat kampung seperti saya dapat mengenali fungsi-fungsi sesuatu jabatan secara bersemuka. Sebelum ini terdapat juga kekeliruan tentang bidang-bidang kuasa sesuatu jabatan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” tambahnya.

Aya Musa ketika ditemui petang tadi

Aya Musa ketika ditemui petang tadi

Bagi seorang lagi pesara kerajaan, Aya Musa, 75 pula, dialog seperti ini amat memudahkan penduduk kampung sepertinya bagi mendapat input-input mahu pun maklumat yang berguna tentang perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan tanpa perlu untuk ke bandar Labuan bagi mengunjungi agensi dan jabatan tersebut.

“Saya merasakan program ini mesra rakyat. Ketua-ketua jabatan turun padang dan berjumpa dengan kami bagi melihat dan menjawab permasalahan kami”, ujarnya

Dialog melibatkan Pengarah SPRM Labuan, Abdulamin Abdillah, Pengarah KPDNKK Labuan, Arun Fazhillah Hamdan dan Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Labuan, Muhammad Saini Suriansah sebagai panel manakala wakil Jabatan Penerangan Labuan, Ramlen Salleh sebagai moderator.

Kembara KEJAR

Kembara KEJAR

Dalam pada itu, Kampung Lubuk Temiang juga lokasi kunjungan terakhir bagi program Kembara KEJAR selepas melalui Kampung Sungai Labu.

 

SF

Tinggalkan komen anda