Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Anugerah Wanita Cemerlang Sabah Milik Juruterbang Jet TUDM

By 25 September 2017September 26th, 2017Tiada komen3 minit bacaan
Laporan: Eviannie Kin / Foto : Taulani Hamzah (Sabah)

KOTA KINABALU, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Mejar Patricia Yapp Shau Yin yang segak beruniform juruterbang menerima tepukan gemuruh ketika naik ke pentas selepas diumumkan penerima Anugerah Wanita Cemerlang sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2017.

Patricia, 41, dari Sandakan merupakan juruterbang wanita pertama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mengendalikan pesawat pejuang MiG-29.

Musa (tengah) sedang membelek dokumen TN50 yang mengandungi aspirasi dan cadangan oleh wanita Sabah.

Musa (tengah) sedang membelek dokumen TN50 yang mengandungi aspirasi dan cadangan oleh wanita Sabah.

Katanya, minat yang mendalam dalam kerjaya penerbangan telah merealisasikan cita-citanya untuk menjadi seorang juruterbang.

“Selain minat yang mendalam, komitmen dan disiplin tinggi juga sangat diperlukan untuk berjaya dan yang paling penting ialah keberkatan Tuhan untuk membantu terus berjaya,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Sementara itu, ibu kepada dua orang anak itu juga berkata, dalam TUDM sendiri memberi layanan yang sama rata tanpa mengira jantina dan keadaan tersebut mencerminkan amalan kerajaan dalam kesaksamaan jantina dalam apa-apa jua bidang.

Patricia berkhidmat dengan TUDM selama 20 tahun dan kini bertugas sebagai juruterbang yang membawa operasi dan taktikal dengan Skuadron No. 17/19 ‘Penyamun Smokey’ di Pangkalan Tentera Udara Kuantan.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Berikutan daripada kecemerlangan dan sumbangan yang tinggi diberikan oleh wanita seperti Patricia, kerajaan negeri turut menyatakan sentiasa memberi peluang seluas-luasnya kepada wanita di Sabah untuk sama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri mahupun negara.

Dalam pada itu, Musa berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk memberi ruang dan posisi penting kepada wanita kerana yakin dengan kemampuan wanita yang turut boleh menyumbang seperti kaum lelaki.

“Saya tidak pernah bersikap berat sebelah serta tidak akan teragak-agak memberi jawatan penting dalam kerajaan negeri kepada sesiapa sahaja, lelaki mahupun perempuan berasaskan merit seseorang.

“Ini kerana saya tahu wanita juga sehebat kaum lelaki. Oleh itu peluang yang sama juga diberikan kepada wanita,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Sabah 2017 di sini, pada Sabtu.

Musa turut menyarankan semua badan berkanun, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan untuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang wakil wanita dalam barisan Ahli Lembaga Pengarah.

Tambahnya, kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan wanita di Sabah khasnya berdaya saing dan mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi, agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan seterusnya saling melengkapi dengan kaum lelaki dalam mendukunh aspirasi kerajaan.

Mariati (tiga dari kanan) penerima Anugerah Wanita Terbilang.

Mariati (tiga dari kanan) penerima Anugerah Wanita Terbilang.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid yang turut menyampaikan ucapan berkata, kaum wanita ialah sebahagian daripada modal insan yang berpotensi menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara.

“Peranan golongan wanita dalam kegiatan ekonomi negara seharusnya diperakui kerana mereka jugalah merupakan tenaga kerja dan modal insan yang semakin bertambah setiap tahun,” ujarnya.

Pada majlis berkenaan, enam wanita cemerlang Sabah menerima anugerah sempena sambutan tersebut.

Mereka ialah Datin Seri Siti Rubiah Abdul Samad, isteri Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (Anugerah Ikon Wanita); Bekas Peguam Besar Sabah, Datuk Mariati Robert (Anugerah Wanita Terbilang); Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia, Mejar Patricia Yapp Syau Yin (Anugerah Wanita Cemerlang); pengusaha kecantikan, Sahrah Asor (Anugerah Usahawan Wanita Harapan); pengusaha pembinaan dan minyak aramoterapi, Marina Harris Embiricos (Anugerah Usahawan Wanita); dan Persatuan Ibu Tunggal Norqaseh Kinabatangan (Anugerah Persatuan Wanita Cemerlang).

 

SF/AAS

Tinggalkan komen anda