Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kidball FC Sedia Hadapi Borneo Cup, Liga CIMB Cup Junior

By 22 September 2017September 25th, 2017Tiada komen3 minit bacaan
Laporan & Foto: Warman Wagiman (Sabah)

KOTA KINABALU, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Kelab Bola Sepak KIDBALL (KIDBALL FC) SK Sri Gaya, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBPT) telah bersiap sedia menghadapi kejohanan Borneo Cup 2017 dan Liga CIMB Cup Junior September ini.

Menurut ketua jurulatih Kidball fc, Musa Abd Rahman untuk kejohanan kali ini pasukan akan dibarisi pelajar yang berumur bawah 11 tahun. Ini bagi memberi pendedahan dan pengalaman sebenar bersaing di peringkat antarabangsa.

“Pemain bawah 11 tahun ini juga merupakan pasukan pelapis bagi menghadapi kejohanan MSSD pada 2018 ” jelasnya lagi.

Menurut Musa lagi, kelab ini juga turut mengadakan program pembangunan bola sepak akar umbi dengan membentuk pasukan pelapis bawah 7-9 tahun yang berlatih setiap hari Rabu.

Manakala bagi pasukan bawah 11 tahun akan berlatih pada setiap Isnin, Selasa dan Khamis di padang mini SK Sri Gaya.

IMG_8821

Kidball juga telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi memantapkan pasukan serta memilih barisan kesebelasan utama dan menentukan formasi yang sesuai di gunakan.

Sementara itu, Presiden Kidball Hasnizam Hasbullah yang ditemui semasa hadir sesi latihan petang semalam turut merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang banyak membantu pasukan selama ini.

“Kami bersyukur kerana diberi peluang untuk bernaung dibawah SAFA Bandaraya Kota Kinabalu yang banyak memberikan impak dan semangat ke arah pembangunan bola sepak akar umbi”, jelasnya.

Penghargaan juga kepada Kementerian Belia dan Sukan khususnya, Datuk Taufiq Datuk Seri Abu Bakar Titingan, sebagai menteri dan Timbalan Presiden SAFA yang sangat prihatin serta mengambil berat terhadap pembangunan bola sepak akar umbi, dengan memberikan bantuan terutama semasa Karnival Bola Sepak Kidball yang baru lalu.

“Sesungguhnya sumbangan semua pihak telah memberikan semangat untuk kami Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak sekolah ini untuk bekerja lebih kuat ”, katanya lagi.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Sri Gaya, Alhazmi Abdullah turut menzahirkan terima kasih atas komitmen guru, ibu bapa serta pemain yang sentiasa bekerjasama bagi memastikan pembangunan bola sepak berterusan.

Alhazmu yang juga penasihat Kidball Fc, menaruh keyakinan bahawa sekolah ini akan membentuk dan melahirkan pemain yang berkemahiran serta bakal mencipta nama di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya turut berbangga apabila dimaklumkan bahawa Kidball merupakan sekolah pertama di Sabah yang menubuhkan kelab bola sepak di peringkat sekolah dan menjadi anak angkat bernaung di bawah SAFA.

“Ini membuktikan betapa sekolah serius dalam usaha pembangunan bola sepak negara. Banyak kelab atau akademi bola sepak di luar ditubuhkan tapi disertai oleh pelbagai pemain daripada pelbagai sekolah. Tapi tidak bagi Kidball kerana ditubuhkan khusus untuk pelajar sekolah Sk Sri Gaya.

“Ini sebahagian daripada program saranan ibu bapa dalam Tranformasi pendidikan Nasional yang menglibatkan gandingan guru dan ibu bapa membentuk ikatan membantu bukan hanya pembangunan sekolah malah negara,” jelasnya.

Bagi membuktikan jalinan kerjasama yang erat itu juga beberapa orang ibu bapa turut tampil membantu secara sukarela sebagai jurulatih dan menguruskan keperluan pasukan.

“Sesungguhnya sekolah terhutang budi dengan komitmen dan sokongan serta kerjasama yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat”, tambah Alhazmi lagi.

Kidball Fc berada dalam kumpulan B bersama pasukan MMT Junior (Malaysia), Astam SS (Indonesia) dan Dreaming Football United (Filipina). Manakala Caloundra (Australia), Turf City (Singapura), TABS (Malaysia) dan Jubilo (Malaysia) berada di kumpulan A.

Semua perlawanan peringkat kumpulan dan separuh akhir akan diadakan di Stadium Penampang, manakala Stadium Likas bakal menjadi tempat untuk perlawanan akhir pada 26 September ini.

-SF

Tinggalkan komen anda