Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Kerajaan Lulus Projek Naik Taraf Perkhidmatan Kereta Api-Pairin

By 16 September 2017September 20th, 2017Tiada komen2 minit bacaan
Laporan & foto: Fauzrina Bulka (Sabah)

SEPANGGAR, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan pusat melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia telah meluluskan tiga buah projek bernilai RM101 juta untuk menaik taraf perkhidmatan kereta api di negeri ini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, tiga buah projek tersebut melibatkan landasan dari Halogilat Beaufort ke Tenom, memperoleh tiga buah Diesel Multiple Unit (DMU) baharu dan menjalankan kajian tentang sistem komunikasi untuk perkhidmatan rel di Sabah.

“Kajian tersebut akan mengenal pasti peralatan komunikasi yang moden dan sesuai untuk digunakan dalam meningkatkan lagi tahap keselamatan landasan sedia ada sepanjang 134km dari Tanjung Aru ke Tenom,”ujarnya.

Tambahnya, ketiga-tiga projek ini dijangka akan dimulakan tahun ini dan kajian menyeluruh akan dijalankan berikutan tuntutan awam tentang keperluan memperluas rangkaian perkhidmatan di seluruh Sabah.

“Baru-baru ini kita telah melancarkan satu set keretapi batu yang mengandungi tiga unit tren yang veroperasi di laluan Beaufort -Tenom sejauh 48km.

Mendengar penerangan daripada pihak KTMB.

Mendengar penerangan daripada pihak KTMB.

“Perkembangan terkini ini secara tidak langsung dapat menarik pelancong luar dan dalam negara sekali gus meningkatkan potensi pelancongan dan ekonomi penduduk tempatan,” jelasnya.

Joseph berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program National Railway Awareness Zon Sabah yang berlangsung di Politeknik Kota Kinabalu (PKK) pagi tadi.

Program tersebut merupakan anjuran Technology Depository Agency (TDA) bersama-sama Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP), Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

“Penganjuran program ini dilihat sebagai salah satu medium yang tepat dalam menyampaikan maklumat dan mendedahkan para pelajar kepada keperluan kemahiran dalam industri rel khususnya di negeri ini.

“Perkembangan yang pesat industri rel di negara ini sekaligus menyebabkan permintaan terhadap pekerja mahir dan separa mahir meningkat dan memberi peluang kepada graduan tempatan unuk mengisi peluang pekerjaan.

“Suntikan modal daripada pelabur luar khususnya dapat merancakkan lagi pembangunan sosioekonomi di negara kita dan seterusnya dapat mengukuhkan sumber pendapatan negara,” kata Pairin.

Sementara itu, menurut Pengarah Kanan TDA, Azman Omar, program ini ialah satu inisiatif bersama untuk menutup jurang dalam keperluan modal insan.

“Tenaga kerja industri rel sedia ada ialah kira-kira 18,000 pekerja dan tenaga kerja yang diperlukan sehingga 2030 kira-kira 68,000 pekerja.

“Dengan pertumbuhan pesat dalam industri rel, kerajaan dijangka akan membelanjakan lebih dari RM150 bilion hingga tahun 2022 bagi tujuan membangunkan infrastruktur dan sistem rel di Malaysia.

“Dengan adanya modul latihan rel di institusi pendidikan, kita memenuhi tunggak penting dalam Rancangan Malaysia ke-11 dalam meningkatkan pembangunan modal insan sekali gus mendorong negara kita untuk mencapai kemajuan untuk menjadi negara maju,” ujarnya.

 

-SF

Tinggalkan komen anda