Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Parang Kota Belud Pertahan Tradisi Tiga Generasi

By 16 September 2017September 20th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

KOTA BELUD, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Terletak 77km dari Kota Kinabalu, Kota Belud yang bermaksud kota pertahanan cukup sinonim dengan parang Bajau yang diusahakan oleh tiga generasi sejak 1960.

Menurut penduduk Kampung Siasai, Ariah Judah yang ditemui pagi tadi bersempena program Hari Malaysia,  pembuatan parang tersebut telah lama diusahakan oleh penduduk kampung sejak tiga generasi terdahulu.

“Pembuatan parang ini telah bermula sejak tiga generasi iaitu generasi datuk, bapa, sekarang adik dan saudara terdekat saya pula.

Ariah ketika ditemu bual.

Ariah ketika ditemu bual.

“Apa yang pasti masing-masing cuba mengekalkan tradisi parang Bajau dalam setiap pembuatan dengan menggunakan kayu malam, kayu rengas, kayu nangka, dan kayu akasia.

“Dari segi tajam, digunakan spring kereta. Ukiran pula dibuat mengikut pucuk rebung, paku pakis, di hulu atau sarung keris kita ukir gunung Kinabalu dan semuanya bertemakan flora. Namun ada juga yang telah dimodenkan mengikut kehendak semasa,” jelasnya.

Tambah Ariah, biasanya parang ini digunakan untuk sembelih haiwan, simpanan, pemberian hadiah, mahupun dijadikan senjata pertahanan diri.

“Bukan itu sahaja, Orang Bajau yang suka berburu jadi jika mereka ke hutan, mereka akan ikat keris atau parang di pinggang. Jadi jika ada haiwan yang mengganggu parang boleh dijadikan senjata untuk pertahanan diri.

“Ada juga yang guna parang ini untuk masak, potong kayu, menebas rumput dan sembelih haiwan ketika hari perayaan,” jelasnya.

Ariah turut berkongsi bantuan yang diterima pihak Kraf Tangan lebih RM2O ribu, memanfaatkan lima tempat pembuatan parang di kampung ini.

“Pihak mereka bukan sahaja membantu daripada segi elaun malah mereka juga turun padang bagi memantau aktiviti pembuatan parang di sini.

“Dengan kualiti yang ada ramai pelancong datang dari Jerman, London singgah dan membeli parang di sini sebagai buah tangan atau simpanan,” ujarnya.

Amirullah ketika sedang membuat parang.

Amirullah ketika sedang membuat parang.

Dalam pada itu, pembuat parang Bajau sejak 2009, Amirullah Anjung, 51 memberitahu bukan mudah untuk menyiapkan sesebuah parang mahu pun keris.

“Bermula dengan proses panaskan besi sampai merah, diketuk sampai nipis sehingga ada bentuk. Kemudian proses kasi putih, buat ukiran dan kemudian tajamkan semuanya memerlukan ketelitian dan kesungguhan.

“Penggunaan arang kayu, besi spring, peputan untuk pam ini menggambarkan cara tradisional masyarakat Bajau untuk menjadikan besi lembut bagi proses ukiran,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi pembuat parang sejak 12 tahun dahulu, Saliman Alu, 43, memberitahu kepuasan yang diperolehnya apabila barangan tradisi Bajau ini dapat dikongsi bersama masyarakat luar.

“Kesusahan nak buat perlu ketelitian, nak ketuk, nak pam juga nak kena ada kemahiran. Belum lagi nak mengukir. Kepuasan apabila dapat meneruskan tradisi Bajau.

“Kami mahu meneruskan generasi Bajau dari zaman datuk dahulu. Dengan teknik pembuatan yang betul mata parang menjadi tajam manakala besinya mampat. Sehingga kini tiada lagi orang yang pulang balik selepas beli,” jelasnya.

Saliman turut berkongsi kisah bantuan yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang banyak membantu penduduk kampung untuk terus kekal dalam industri pembuatan parang.

“Sabah Tourism ada bagi modal untuk kita mendirikan lima bengkel pembuatan parang di sekitar kampung ini. Sudah tiga kali kami terima elaun.

“Menerusi elaun yang diberi, rata-rata pengusaha menjual parang masing-masing di Pasar Tamu. Ada juga yang sibuk menyiapkan tempahan pengguna selain menjual dalam talian,” katanya yang menjual parang dengan harga RM60 hingga RM1300.

Parang Kota Belud ini turut memeriahkan pameran produk Komuniti Satu Malaysia bersempena Hari Malaysia di Kompleks Sukan Likas sehingga tengah malam ini.

-SH

Tinggalkan komen anda