
Liputan dan Foto oleh: Mohd Anuar Ibrahim & Sazaki Abd Rahman (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 20 Sept (Malaysiaaktif) – Syria Care hari ini melancarkan ‘Kempen Bantuan Musim Sejuk 5.0’ bagi mengurangkan kesengsaraan rakyat Syria akibat perang saudara yang meletus tujuh tahun lalu untuk menghadapi musim sejuk pada November ini.
Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Ustazah Siti Sakinah Meor Omar, pihaknya mensasarkan kutipan sebanyak RM4 juta bagi membantu seramai 4,600 keluarga di beberapa kawasan agihan iaitu di Latakia, Barat Idlib, Timur Ghoutah, Timur Idlib, Selatan Damsyik, Homs dan Aleppo.
“Sasaran kutipan kali ini meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu berikutan peningkatan jumlah pelarian iaitu sekitar 12 juta penduduk di dalam Syria terutama di kawasan terkepung dan juga akibat kesan kemusnahan prasarana di sana,” kata Ustazah Siti Sakinah pada majlis pelancaran Kempen Bantuan Musim Sejuk 5.0, di sini hari ini.
Tambahnya, kedatangan musim sejuk merupakan cabaran getir dan bebanan yang dahsyat bagi mangsa kerana ada kalanya suhu menjunam hingga di bawah 10 darjah celcius.
“Bekalan bantuan yang sukar mencapai kawasan yang dikepung dan dibom juga menjadi cabaran yang amat sukar buat NGO (badan bukan kerajaan) Syria Care pada masa kini.
“Bermula November ini pihak kami akan mengagihkan bantuan dalam bentuk pakaian dan pemanas kepada seramai 1,000 keluarga, manakala bantuan kayu api dan gas kepada 3,000 hingga 4,600 keluarga,” katanya lagi.

Ustazah Siti Sakinah Meor Omar menyampaikan ucapan semasa pelancaran ‘Kempen Bantuan Musim Sejuk 5.0’
Pada majlis yang sama, turut diadakan sidang media dalam talian bersama rakan NGO yang menggerakkan kempen bantuan di Syria.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Syria Care di talian 03-55234077 / 011-28809820.
– AH