
Oleh: Hamidah Md Drus / Foto: Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Kuala Pilah)
REMBAU, 20 Sep (Malaysiaaktif) – SMK Bandar Baru Serting, Jempol memenangi Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sedia Raja, Chembong petang tadi.
Tempat kedua pula dimenangi SMK Datuk Shahardin, Labu manakala tempat ketiga SMK Datuk Mohd Taha, Tampin. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,500, RM1000, RM500 plak dan sijil.
Menurut guru penyelaras Kelab 1 Malaysia SMK Bandar Baru Serting Hernawati Amer, 38, pelajarnya hanya sempat berlatih dua minggu sebelum pertandingan.
“Ini berikutan pelajar sibuk menghadapi peperiksaan. Namun demikian segala usaha dan penat lelah mereka sebelum ini terbayar.
“Pertandingan sangat bagus diadakan bagi memberi pemahaman tengang konsep Rukun Negara untuk memupuk semangat jati diri, cinta akan negara dan nilai-nilai murni kepada pelajar walaupun menerusi lakonan,” ujarnya.
Sementara itu, Guru Penyelaras SMK Dato’ Sedia Raja, Chembong, Noraini Mohd, 33, berkata melalui pertandingan ini pelajar dapat belajar tentang Prinsip Rukun Negara seterusnya dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Segala persiapan, sama ada skrip, bahan sokongan persembahan, teknikal dan pengarahan adalah daripada peserta sendiri. Kami sebagai guru hanya sebagai pembimbing dan memastikan mereka tidak lari daripada tajuk”, ujarnya.
Bagi pelajar, Khalis Sharhana Zulkipli, 16, pula berasa teruja dengan semua persembahan daripada ketujuh-tujuh buah sekolah.
“Jika berpeluang saya ingin menyertai pertandingan ini pada tahun hadapan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan Datuk Zaifulbahri Idris menjelaskan walaupun negara telah merdeka selama 60 tahun, dan tidak dijajah lagi melalui ketenteraan, namun tidak mustahil negara kita akan dijajah melalui pemikiran, ideologi dan ekonomi.
“Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat Malaysia perlu memperkukuh jati diri terutama para pelajar yang bakal menjadi pemimpin akan datang.
Tambahnya, program seumpama ini perlu diteruskan bagi memberi pendedahan dan mendidik pelajar khasnya ahli kelab 1 Malaysia tentang Rukun Negara.
“Platform yang disediakan oleh Jabatan Penerangan Negeri Sembilan seharusnya diambil oleh pelajar dan guru-guru untuk menunjukkan rasa cinta terhadap negara,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Chembong.
Pada majlis tersebut, Zaifulbahri turut berbesar hati menambah jumlah hadiah sebanyak sekali ganda kepada pemenang yang menjadikan pemenang tempat pertama menerima RM3000, kedua RM2000 sementara ketiga RM1000.
Pertandingan yang dihadiri lebih 300 orang itu turut disertai oleh SMK Bandar Baru Serting, SMK Dato’ Sedia Raja, SMK Tuanku Muhamad, SM Agama Haji Mohd Yatim, SMK Dato’ Mohd Taha dan SMK Triang Hilir.
–SF