Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerlisViral

Pantun Angkat Martabat Seni Berbahasa Bangsa Melayu

By 20 September 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Sufian Kamarudin / Foto: Anuar Che Amat (Kangar)

KANGAR, PERLIS 19 Sept (Malaysiaaktif) – Amalan berpantun merupakan tinggalan warisan nenek moyang kita yang melambangkan sifat bersopan santun dan berbudi bahasa generasi terdahulu. Bahasa indah yang menjadi ungkapan susunan ayat pantun serta rima yang serasi dapat membayangkan kelembutan dan keindahan budi bahasa masyarakat kita.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perlis dengan kerjasama Persatuan Melayu Perlis (PEMANIS) semalam telah menganjurkan Pertandingan Berbalas Pantun Peringkat Negeri Perlis 2017 di Auditorium Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis dengan tema “ ‘Bahasa Cerminan Bangsa’.

Sebanyak empat kumpulan yang layak meneruskan kemaraan di peringkat separuh akhir bertanding pada pertandingan peringkat akhir ini iaitu kumpulan KOMAPS (Komuniti Mahasiswa Perlis), kumpulan khutub khanah (Perpustakaan Negeri Perlis), kumpulan ADUKA 3P (Persatuan Penulis Perlis) dan kumpulan Gemala sari ( Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Perlis).

Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perlis, Rahmat Mohd Noh, pertandingan yang diadakan ini adalah bertujuan untuk menanam minat dan rasa cinta masyarakat terhadap bahasa, sastera dan budaya seiring dengan dasar kebudayaan kebangsaan yang berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini.

“Melalui budaya berpantun, akan dapat mengangkat keunikan pelbagai etnik, bahasa, kepercayaan amalan masyarakat negeri-negeri dan menonjolkan seni berbahasa. Selain itu, ia juga dapat mengeratkan persefahaman dan integrasi dalam kalangan masyarakat negara ini.

“Dalam berpantun, ayat sentiasa tersusun dengan bahasa yang indah. Di situlah kita dapat lihat kreativiti serta kecekapan peserta dalam menghasilkan pantun yang berkualiti.

“Apa yang saya dapat lihat, budaya berpantun juga mampu menjadi salah satu elemen tarikan pelancong. Program ini mampu memberi impak kepada industri pelancongan negara menerusi penyerlahan seni dan budaya etnik tempatan dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Para peserta mengambil gambar kenangan bersama Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Datuk Hamdan Bahari; YDP Persatuan Melayu Perlis, Mohd Zain Hamzah  dan Pengarah JKKN Perlis, Rahmat Mohd Noh.

Para peserta mengambil gambar kenangan bersama Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Datuk Hamdan Bahari; YDP Persatuan Melayu Perlis, Mohd Zain Hamzah dan Pengarah JKKN Perlis, Rahmat Mohd Noh.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Melayu Perlis (PEMANIS), Mohd Zain Hamzah berkata seharusnya elemen-elemen kebudayaan seperti inilah yang menjadikan rakyat dan setiap bangsa kita bersatu dan saling menghormati.

Jelasnya, budaya berpantun ini misalnya seharusnya dihayati oleh setiap daripada kita tanpa mengira keturunan dan bangsa kerana nilai-nilai positif dapat diserapkan dalam kehidupan melalui amalan budaya bersahsiah murni seperti ini.

“Kita berasa bertuah kerana menjadi rakyat Malaysia, sebuah negara yang aman serta makmur walaupun penduduknya terdiri daripada pelbagai keturunan bangsa, bahasa dan agama. Kita seharusnya merasa bangga kerana dalam acara sebegini pengisian elemen kebudayaan turut kita kongsi bersama tanpa sebarang rasa prasangka.

“Sejajar dengan peranan Bahasa Melayu yang dijadikan Bahasa Kebangsaan, seni kesusasteraan Bahasa Melayu seperti pantun sepatutnya dijadikan wadah sebagai pemangkin kepada perpaduan rakyat. Bahasa kebangsaan ini seharusnya diperhalusi dari segi kepenggunaannya kepada pelbagai ragam dan cara supaya ia dapat menjadi medium pertemuan dan penyatuan semangat perpaduan rakyat,” katanya lagi.

Para pemenang menerima hadiah wang tunai, piala beserta sijil.

Para pemenang menerima hadiah wang tunai, piala beserta sijil.

Dalam pertandingan ini, kumpulan ADUKA 3P telah dinobatkan sebagai johan pertandingan dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2000, piala iringan serta sijil penyertaan, manakala naib johan disandang oleh kumpulan Khutub Khanah yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1000, piala iringan serta sijil penyertaan.

Pemenang tempat ketiga, kumpulan KOMAPS menerima hadiah wang tunai sebanyak RM800, piala iringan serta sijil penyertaan dan tempat ke empat yang dimenangi oleh kumpulan Gemala Sari menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500, piala iringan serta sijil penyertaan.

Dalam pada itu, Anugerah pemantun terbaik yang diberikan kepada ahli kumpulan ADUKA 3P, Mohd Nazrullah Abdul Aziz menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500.

Majlis penyampaian hadiah ini telah disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Datuk Hamdan Bahari.

– AH

Tinggalkan komen anda