
Laporan dan foto : Azmi Abd. Rahman (Machang) / NajibRazak.com
MACHANG, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Pembentangan bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat banyak memberi penambahbaikan dan menepati kehendak seluruh rakyat berbanding bajet sebelumnya.
Salah satu intipati Bajet 2018 ialah pemberian 90 hari tempoh cuti bersalin maksimum yang menjadi isu yang hangat diperdebatkan.
Menurut Cheng Ian Hock, 46, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah, di sini berpendapat tempoh cuti bersalin dilanjutkan ke 90 hari bagi kakitangan awam dan swasta merupakan suatu tindakan yang amat baik.
“Cuti rehat yang secukupnya mampu mengembalikan semangat untuk bertugas bagi wanita yang bersalin. Secara tidak langsung dapat meningkatkan moral serta kualiti kerja mereka yang terbabit,” katanya.
Sementara itu, Safie Mohamad, 53, yang bekerja sendiri menyatakan pengenalan cuti bersalin 90 kepada sektor awam dan swasta dilihat satu usaha kerajaan untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan di negara ini.
“Pelaksanaannya pasti akan memberi lebih masa bersama keluarga terutama semasa tempoh kehamilan,” jelasnya kepada Malaysiaaktif.
Seorang lagi penjawat awam, Yusnida Yaakub 36, amat bersetuju dengan cadangan menaikkan tempoh cuti bersalin kerana bayi yang baru lahir memerlukan perhatian sepenuhnya daripada ibunya.
Manakala Noraini Mat Hussin 34, seorang pekerja swasta mempunyai pendapat yang berbeza. Beliau tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menaikkan tempoh cuti bersalin.
“Cuti yang terlalu lama akan menjejaskan sesebuah agensi atau jabatan kerajaan mahupun swasta. Kerajaan perlu menimbang semula tempoh cuti tersebut kerana tempoh cuti bersalin selama 60 hari sudah memadai,” katanya lagi.
Bagi Pegawai Jabatan Belia Machang, Azma Yahya, 45, pemberian cuti bersalin 90 hari akan hanya menjejaskan produktiviti jabatan.
“Produktiviti jabatan akan terganggu apabila seseorang pegawai bercuti terlalu lama dan menyebabkan bebanan tugas kepada pegawai lain, malah kebenaran pulang awal bagi pasangan atau suami juga tidak berasas sama sekali,” ujar Azma.