Skip to main content
Berita TempatanSabah

Bangkit Daripada Kesusahan Hidup, Kini Bergelar Pengusaha

By 27 November 2017Tiada komen5 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Mastim Kiriman (Sabah)

TAWAU, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Menyara enam orang anak bukanlah mudah jika hanya mengharap pendapatan suami yang hanya seorang pemandu, apatah lagi semua anak masih bersekolah.

Ditambah lagi dugaan kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran pada 2006 amat memberi tekanan perasaan kepada Kasmah Basiran, 61, dan suaminya hingga memaksa mereka kembali ke kampung di Merotai Besar dengan hanya sehelai sepinggang.

Mujur ada sebuah premis yang telah dua tahun kosong tidak bertuan, dipohon oleh Kasmah untuknya jadikan tempat berniaga sekali gus tempat berteduh untuk mereka lapan beranak.

Swady (baju biru) turut mencuba membuat keropok amplang sambil dibantu oleh Kasmah (kanan).

Swady (baju biru) turut mencuba membuat keropok amplang sambil dibantu oleh Kasmah (kanan).

“Ketika itulah saya benar-benar rasa erti hidup, tetapi saya tahu yang saya mesti kuat demi anak-anak, dan dengan modal sebanyak RM2000 yang dapat kami simpan daripada gaji suami, kami mulakan perniagaan keropok amplang.

“Itu sahaja kemahiran yang saya tahu sebab sebelumnya saya mengambil upah membuat keropok ini daripada ipar saya. Jadi dengan modal yang terhad kami mulakan segala-galanya sendiri, secara manual,” cerita Kasmah mengimbas titik awal bermula empayar perniagaanya.

Kasmah bersyukur mendapat banyak bantuan daripada agensi kerajaan dalam mengembangkan perniagaannya antaranya Jabatan Perikanan, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Ko-Nelayan.

“Bantuan yang diberikan bukan dari segi kewangan sahaja, tetapi dengan sumbangan peralatan seperti mesin penggoreng, mesin pengadun, peti sejuk beku dan yang terkini papan tanda kedai.

“Selain itu, ada juga agensi yang membantu dari segi promosi dan menyediakan tapak gerai untuk jualan membolehkan pasaran produk saya diperluas lagi,”ujar Kasmah semasa ditemui di premisnya pada Sabtu.

Bekalan isi ikan untuk keropok amplangnya Kasmah tempah daripada pembekal tempatan sebanyak 700kg seminggu atau tiga tan sebulan.

“Dulu semasa ikan tenggiri masih murah, kami gunakan ikan itu untuk membuat keropok. Pada masa yang sama kami cuba-cuba juga menggunakan ikan bulan-bulan supaya tidak menggelabah jika tenggiri naik harga.

“Selepas itu, setelah harga tenggiri meningkat daripada RM2.80 sekilo menjadi RM10.50 sekilo, kami terus menggunakan isi ikan bulan-bulan sahaja sekarang.

“Kedua-dua ikan ini tidak banyak beza dari segi rasa, kami masih dapat kekalkan kualiti rasa kecuali warna amplang agak gelap dengan menggunakan ikan bulan-bulan,” jelas Kasmah.

Menurutnya, dengan kenaikan harga bahan mentah, peratus keuntungan yang diperolehnya hanya 40 peratus daripada jumlah pendapatan berbanding lebih 50 peratus sebelum ini.

Namun begitu, perniagaan Kasmah sudah berada dalam keadaan selesa kerana amplangnya kini sudah terjual di seluruh Malaysia dan menembusi pasaran Brunei.

“Pernah satu ketika saya berada di daerah Papar dan ketika saya sedang bersiar-siar, saya melihat keropok saya dijual oleh peniaga disitu.

“Saya turut dipelawa oleh jurujual untuk membeli keropok tersebut kerana dikatakan sedap tetapi saya menolaknya dan mengatakan yang saya sudah pun membelinya.

Salah seorang pekerja Kasmah sedang membungkus amplang bagi pasaran tempatan.

Salah seorang pekerja Kasmah sedang membungkus amplang bagi pasaran tempatan.

“Perasaan saya sedikit sayu kerana memikirkan akhirnya amplang buatan saya menembusi pasaran di luar Tawau dan digemari oleh pembeli,” ujarnya perlahan.

Kejayaannya dalam perniagaan itu dapat dilihat dengan kehidupannya kini yang mampu membina rumah sendiri di atas tanah lot bernilai RM350 ribu dan memiliki beberapa buah kenderaan.

“Benarlah kata orang, bukan senang mahu senang, berusahalah walaupun. berkali-kali jatuh, bangun lagi dan jangan mengharapkan bantuan orang.

“Jika orang kata saya sudah berjaya, tetapi bagi saya, saya belum berjaya lagi selagi belum memiliki kilang pemprosesan amplang sendiri.

“Rancangan saya untuk bina kilang sendiri di atas tanah yang sama di rumah saya pada tahun hadapan, dan insya-Allah saya akan menambah bilangan mesin dan juga pekerja,” katanya yang kini mempunyai 22 orang pekerja.

Swmua pekerja Kasmah merupakan ibu tunggal dan kurang berkemampuan manakala lapan orang lagi pelajar sekolah yang ingin bekerja sewaktu cuti persekolahan.

“Tetapi saya agak memilih mencari pekerja dan saya ambil yang benar-benar mahu bekerja sahaja, sebab saya juga pernah merasa susah dan sekarang giliran saya membantu mereka.

“Saya juga amalkan memberi sumbangan kepada golongan yang sangat memerlukan kerana sangat yakin kejayaan saya hari ini juga iaah imbuhan daripada gemar menyumbang,” katanya.

Menurut Kasmah, jika sejak awal dia faham konsep bersedekah, pasti sudah lama dilakukannya dan tidak memperlekehkan peminta sedekah yang datang kepadanya.

“Pernah duit di tangan saya hanya ada RM5, kemudian datang seorang lelaki untuk meminta sedekah. Tetapi saya menolaknya dan perlekehkan dalam hati yang saya pasti kelaparan jika beri semua duit saya.

“Tapi kalaulah saya tahu ketika itu, yang saya akan dapat keuntungan berganda jika saya berikan saja, mungkin sudah lama saya amalkan konsep sedekah.

“Saya pasti tentang itu kerana sekarang ini setiap kali saya menghulurkan sumbangan, pasti tidak lama kemudian akan banyak tempahan yang saya terima daripada pelanggan,” ujarnya bersyukur.

Kasmah juga sentiasa berusaha menjaga pelanggan-pelanggan dengan memenuhi setiap tempahan yang dibuat agar pelanggan tidak berasa kecewa

Di samping itu, Kasmah akan sentiasa memastikan amplangnya dibuat menepati kualiti yang ditetapkan agar jangka hayatnya bertahan dalam temph tiga bulan dalam bekas kedap udara.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Sabah, Swady Guliling yang melawat ke pusat perusahaan terbabit berkata Jabatan melalui gerakan Komuniti 1Malaysia akan memberi bantuan promosi kepada ahli-ahli komuniti yang mempunyai produk seperti ini.

“Japen akan memberi bantuan dalam aspek promosi kepada usaha penghasilan produk keropok amplang ini melalui penyertaan terhadap pelbagai aktiviti pameran di setiap program yang dianjurkan oleh jabatan.

Jelasnya, melalui penglibatan pameran ini nanti pelbagai produk yang dihasilkan oleh Komuniti 1Malaysia termasuk keropok amplang ini dapat diperkenalkan kepada masyarakat termasuk pemborong atau peniaga lain bagi mendapat pasaran yang lebih meluas.

“Selain itu, Japen turut akan mempromosikan produk-produk oleh ahli-ahli Komuniti 1Malaysia ini dengan menerbitkan buku, majalah, media cetak serta turut memperkenalkannya melalui media massa agar produk berkenaan bukan sahaja dikenali oleh masyarakat tempatan malah masyarakat luar termasuk luar negara,” ujarnya.

SF

Tinggalkan komen anda