Skip to main content
Berita Tempatan

Dallbons Tidak kekok Menjahit

By 9 November 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 9 Nov (Malaysiaaktif) – Pandangan tertumpu kepada satu-satunya jejaka  antara 30 peserta yang menerima sijil kerana berjaya dalam tugasan menyiapkan baju tradisional dalam tempoh dua bulan.

Dallbons Jalabid, 32 yang berasal dari Kampung Tuguson, Kota Belud tidak kekok berada dalam kalangan wanita yang lebih berusia daripadanya demi menuntut ilmu dalam bidang yang diminati sejak berusia 16 tahun.

“Dunia tanpa sempadan kini telah banyak mengubah gaya hidup manusia membuatkan kita lebih berfikiran terbuka dan bersikap oportunis dalam mencari sumber hidup.

Wences (kiri) menyerahkan sijil kepada Dallbons (kanan).

Wences (kiri) menyerahkan sijil kepada Dallbons (kanan).

“Setahu saya, pekerjaan tidak mempunyai jantina, apa pun yang dikerjakan jika dilakukan dengan cara yang halal dan betul, pasti akan memberi pulangan yang setimpal walau siapa pun anda.

“Lelaki dan wanita zaman sekarang sama hebat dan berkebolehan, dengan melakukan kerja dengan mantap dan cemerlang, soal perbezaan jantina tidak wujud lagi,” ujarnya.

Mempunyai seorang ibu yang berkebolehan lebih 15 tahun membuat kraf tangan dengan menjahit beg daripada kulit kayu, menimbulkan minat di hati Dallbons turut serta dalam bidang jahitan.

Sebagai anak sulung daripada empat beradik, Dallbons rajin membantu ibu berjualan di Pekan Nabalu, Kundasang sementelah hasil jualan itu juga yang menampung perbelanjaan persekolahan mereka.

Ayahnya pula seorang petani yang juga mengambil upah bertukang dengan membuat rumah bagi menambah pendapatan mereka sekeluarga.

“Saya sepenuh masa menjahit di rumah. Apabila timbul minat untuk menjahit pakaian, saya mula belajar sendiri melalui laman carian Google dan Youtube.

“Memahami minat saya, seorang rakan mengesyorkan saya menyertai kursus jahitan pakaian tradisi di Pusat Kebudayaan ini dan membantu saya untuk mendaftar,” jelas Dallbons yang berketurunan Kadazan Dusun.

Kursus yang dianjurkan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri itu tidak mengenakan sebarang bayaran dan dia diberikan misi untuk menjahit satu set baju tradisi Dusun Tambunan dan satu set baju tradisi Dusun Papar.

Hasil kerja kursus para peserta menghasilkan pakaian tradisi pelbagai etnik

Hasil kerja kursus para peserta menghasilkan pakaian tradisi pelbagai etnik

Menurutnya, terdapat juga agensi dan orang perseorangan yang membuka bengkel untuk membuat baju dengan caj yang tinggi di luar.

“Ada tenaga pengajar yang mengenakan caj RM10 untuk satu jam bagi seorang pelajar dan ada juga yang mengenakan caj RM350 untuk satu pasang baju sahaja yang sememangnya tidak mampu diikuti oleh individu yang kurang berkemampuan.

“Sebab itu saya gunakan peluang dua bulan itu dengan menggali ilmu daripada tenaga pengajar dengan sebaik-baiknya kerana sedar tidak semua berpeluang seperti saya,” katanya.

Mengulas lanjut, Dallbons turut berkongsi cabaran yang dilaluinya sepanjang dua bulan menyiapkan tugasan yang diberikan.

“Memang perlu menahan mata dan hati untuk menjahit labuci pada baju, mungkin itulah sebabnya baju tradisi ini agak mahal kalau kita upah orang untuk jahit.

“Paling awal saya tidur selepas letih menjahit adalah pada jam 3.00 pagi sebab selain menjahit untuk tugasan, saya juga menjahit tempahan pelanggan.

“Jari tangan memang selalu ‘menangis’ tercucuk jarum dan makan pula tidak teratur sebab jika sudah mula membuat kerja, pasti lupa mahu makan, kalau saya di kampung pasti mama sudah bising,” ujarnya ceria.

Dallbons turut mengakui generasi muda kurang berminat menjahit baju tradisional dan kebanyakan yang berminat hanya kaum ibu.

“Bidang jahitan ini sebenarnya boleh menjadi pendapatan sampingan bagi yang mempunyai kerja hakiki memandangkan keadaan ekonomi sekarang yang tidak begitu stabil dan kesukaran mendapat pekerjaan.

“Kalau anda minat menjahit, teruskan dan jangan malu lebih-lebih lagi menjahit baju tradisional ini sebab anak-anak mudalah yang perlu mewarisi kemahiran itu.

“Satu hal yang sangat baik apabila golongan belia dapat mengembangkan kreativiti memandangkan bidang fesyen menjadi perhatian di peringkat dunia,” ujarnya.

Tambah Dallbons lagi, dia percaya idea rekaan yang bakal dihasilkan oleh belia sememangnya mengikut naluri arus peredaran masa untuk generasi kini.

“Saya juga percaya, setiap rekaan yang dihasilkan mampu menarik minat generasi kini untuk membeli atau memilikinya.

“Saya turut berimpian untuk memiliki butik dan mengkomersialkan jenama saya sendiri khususnya rekaan pakaian tradisional kontemporari dan pakaian tradisional suku kaum di Sabah bukan sahaja di peringkat negeri malah antarabangsa,” katanya yang menjadikan pereka Datuk Seri Bernard Chandran sebagai idola.

Dia turut berpendapat, bagi seorang lelaki yang berkebolehan dalam membuat kerja-kerja wanita merupakan satu bonus.

“Selain membantu dalam menambah sumber kewangan, menjahit juga boleh dijadikan sebagai karier yang berterusan.

“Kita harus berpandangan positif dan optimistik, tanpa prejudis terhadap mana-mana jantina. Rezeki ayam nampak di kaki, rezeki orang hanya Tuhan menentukan,” ujar Dallbons yang ditemui selepas majlis penutupan Kursus Kemahiran Menjahit Pakaian Tradisi pada Selasa.

Sementara itu. Menurut Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Tan Sri Wences Angang, penganjuran bengkel tersebut dapat meningkatkan status kebudayaan dan kesenian serta memberi peluang kepada masyarakat untuk memajukan, memperkayakan dan memelihara budaya etnik masing-masing.

“Peserta juga dapat belajar dan seterusnya mendapat dorongan mempromosikan keunikan dan kepelbagaian kesenian etnik yang terdapat di Sabah terutamanya generasi baharu.

“Menjadi harapan saya agar program seperti ini dilaksanakan pada masa akan datang dengan melibatkan etnik lain pula yang masih belum mengetengahkan pakaian tradisi mereka.

“Kita sedia maklum terdapat 35 etnik dan 217 subetnik yang terdapat di nSabah, justeru semua etnik mendapat manfaat yang sama agar dapat saling membantu memelihara warisan kita,” ujarnya.

-SF

Tinggalkan komen anda