
Laporan dan foto : Hasniza Hassan (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Peniaga-peniaga di negeri ini masih beruntung dan bertuah kerana mendapat layanan, keprihatinan dan perhatian yang sama daripada pihak Kerajaan Persekutuan.
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, dalam bidang perniagaan ini, rakyat Kelantan turut menikmati pelbagai insentif.
“Pelbagai kemudahan serta bantuan diberikan supaya perniagaan mereka ini terurus serta terjamin dan membangun sehingga keperingkat kebangsaan dan antarabangsa dengan sempurna,” ucapnya semasa merasmikan Hari MITI 2017 (Zon Pantai Timur) yang berlangsung di sebuah hotel di sini.
Program yang bertujuan membantu usahawan-usahawan Zon Pantai Timur untuk menerokai pasaran dengan lebih luas ini mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia(MATRADE), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan lain-lain.
“Program ini berkonsepkan rakyat, dimana program ini dibahagikan kepada empat konsep utama iaitu seranta, keusahawanan, peluang pekerjaan dan pelaburan,” jelas Mustapa lagi.
Antara program yang dimuatkan sepanjang karnival berlangsung, pameran daripada MITI dan agensi-agensi di bawahnya, pameran Automotif, serta pameran kerjaya dan sesi temuduga terbuka oleh MIDA yang menawarkan lebih 2000 peluang pekerjaan di seluruh negara.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr. Hafsah Hashim.
Turut diserahkan ketika majlis berlangsung ialah geran Program Peningkatan Keupayaan PKS Bumiputera (BEEP) Negeri Kelantan kepada 5 syarikat tempatan.