Skip to main content
Berita TempatanSabah

Makna Di Sebalik Kurniaan Kebesaran Negeri

By 15 November 2017Tiada komen5 minit bacaan

Laporan: Zuraidah Ahmad / Foto: Vicky S.Matanjang & Johnny Joklis (Sabah)

KOTA KINABALU, 14 Nov (Malaysiaaktif) – Rakyat di negeri ini meraikan Sambutan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri pada Sabtu minggu pertama Oktober setiap tahun.

Saban tahun juga, beberapa individu yang menyumbang kepada pembangunan negara, negeri serta masyarakat akan mendapat penghargaan dalam bentuk kurniaan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri. Namun, apakah makna pingat  itu kepada rakyat dan siapakah Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Datuk Mahiruddin pada pandangan mereka?

“Pertama, jumpa langsung Tun Juhar cakap, saya suka Brorey Marantika sama Hetty Koes Endang dan beliau kasi tunjuk koleksi cakera padat. Kata Tun, Bapak Jemmy saya suka main muzik bila ada masa rehat, saya dan anak saya main band. Saya pun kata wah luar biasa Tun!

“Bagi saya, beliau ialah seorang yang prihatin dan sangat mesra mungkin kerana kami sama-sama meminati muzik,” kata anggota Infantri (INF), Mayor Kavaleri Jemmy Sitorustua Sitorus, 41, berasal dari Sumatera.

Pegawai Perhubungan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di bawah naungan Division Task Force 450 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu, langsung tidak menyangka perkhidmatannya selama tiga tahun (2015-2017) mendapat pengiktirafan Kerajaan Negeri Sabah.

Dia yang mesra dengan panggilan Bapak Jemmy dikurniakan darjah kebesaran Bintang Kinabalu (BK) sempena Hari Jadi Rasmi Ke-64 Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Juhar Datuk Mahiruddin di Istana Negeri, pada Rabu.

Jemmy (kanan) ketika ditemu bual

Jemmy (kanan) ketika ditemu bual

“Tun Juhar sangat biasa dengan Indonesia, malah Indonesia itu menurutnya bukanlah suatu negara yang baharu. Semasa dalam politik lagi, beliau sering berada di Indonesia bagi menghadiri acara pertemuan politik termasuk di Bali, Jakarta, Bandung dan sebagainya.

“Sepanjang bertugas di Sabah, saya tidak menghadapi sebarang masalah kerana budaya dan bahasa yang tidak jauh beza. Dengan ATM juga tiada masalah, kita sentiasa selesaikan masalah sempadan dengan baik.

“Malah, anak ketiga saya juga lahir di sini, dia jadi anak Sabah kerana sijil lahirnya dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia. Ini ialah satu lagi kenangan terindah buat saya, selain mendapat darjah kurniaan Tun Juhar,” kongsinya.

Jemmy ditugaskan semula ke Kem Pontianak Kalimantan bermula bulan depan, merakamkan terima kasih atas kurniaan tersebut yang sekali gus mengangkat dan menghargai kerjasama dua hala antara Malaysia-Indonesia buat pertama kalinya sejak pejabat itu bertapak di Sabah sejak  1982.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan Istana Negeri, Mohd Rashid Datuk Mohd Tahir, 50, yang dikurniakan watikah sebagai Jaksa Pendamai (JP) atas jasanya mendukung karier Tun Juhar selama 21 tahun.

“Tiada apa yang dapat saya katakan selain bersyukur dan menjunjung kasih kepada Tun Juhar atas kurniaan ini. Saat yang paling mengharukan apabila Tun Juhar sendiri memaklumkan perkhabaran itu diberi kepada saya. Katanya, anugerah JP itu pasti tidak akan dapat menyamai jasa saya selama 21 tahun ketika susah senang Tun Juhar dalam politik,” luah Mohd Rashid.

Ternyata, kelayakan untuk melayakkannya sebagai Jaksa Pendamai bukannya mudah. Kariernya dalam politik bersama Tun Juhar bermula dengan jawatan Ketua Pegawai  Perhubungan Ahli Parlimen Kinabatangan dari tahun 1995 hingga 1999, selepas lapan tahun berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir di Majlis Perbandaran Sandakan pada 1987.

Ketika Umno mula bertapak di Sabah pada 1991, dia dilantik sebagai Ketua Penaja Umno Cawangan Persekutuan Batu 7 Kinabatangan sebelum menjadi Setiausaha Kerja Umno Kinabatangan pada tahun 1994 dan Ketua Daerah Pengundi Barisan Nasional (BN) Parlimen Kinabatangan serta Ahli Majlis Perbandaran Sandakan.

Mohd Rashid pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Kinabatangan dan Pemuda selama tiga tahun, selepas itu AJK Bahagian Pemuda Umno Batu Sapi, sebelum menjadi Pegawai Perhubungan Khas kepada Tun Juhar ketika dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah (2006), seterusnya sebagai Setiausaha Perhubungan (SUPER) Istana Negeri apabila Tun Juhar dilantik sebagai TYT Sabah bermula 2011 hingga kini.

Pengiktirafan turut diberikan kepada Pemandu R11 di Pejabat Penerangan Bahagian Sandakan, Mohamad Mesir, 59, dari Rancangan Sungai Manila yang telah mencurah bakti selama 25 tahun dan akan bersara pada 20 September depan.

Ayah kepada 10 anak serta enam cucu itu rupanya sudah lama mengagumi kepimpinan Tun Juhar dalam politik dan sering memerhatikannya dari jauh.

“Saya mengagumi Tun Juhar sejak beliau muda, pada zaman Usno lagi. Ketika itu saya hanya melihat dari jauh, tetapi saya dapat rasakan yang anak muda itu bakal menjadi pemimpin besar suatu masa nanti.

“Pada hari pengurniaan pingat, saya bagaikan tidak percaya dapat bersalaman dengan Tun Juhar kerana itulah kali pertama dalam hidup saya berpeluang berhadapan dengan beliau. Hanya Allah  sahaja dapat membalas jasa Tun Juhar kerana memberi penghargaan kepada anggota berpangkat rendah seperti saya, menjunjung kasih Tun,” katanya penuh kesyukuran.

Pada Istiadat Pengurniaan itu, Tun Juhar turut mengurniakan darjah kebesaran Ahli Darjah Kinabalu (ADK) kepada warga Sang Saka Biru, DSP Mohd Hamizi Halim, 41, berasal dari Kota Bahru Kelantan.

Hamizi kini bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, telah berada di Sabah sejak 1 November 2002 sebagai Pegawai Penyiasat di IPD Lahad Datu.

“Disebabkan saya bukan anak watan, jadi saya tidak pernah menjangka dapat darjah kebesaran ini. Tetapi alhamdulillah, anugerah ini Ialah penghargaan kepada pengorbanan pasukan keselamatan khususnya IPD KK. Menjunjung kasih TYT.

“Dengan kurniaan ini, saya bertekad melaksanakan tugas saya dengan lebih konsisten serta berharap lebih ramai lagi rakan-rakan sepasukan akan mendapat penghargaan sama,” kata Mohd Hamizi.

Berbeza dengan penerima darjah kebesaran Bintang Setia Kinabalu (BSK), Busmin Brahim, yang mengidolakan kepimpinan Tun Juhar sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, kemudian Speaker DUN Sabah sehingga dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri.

“Pertama kali menyaksikan Tun Juhar mengendalikan Perhimpunan Agung Umno dengan baik pada November 2007 yang berlangsung di PWTC melalui kaca televisyen. Setelah dilantik sebagai Speaker DUN Sabah, saya teruja melihat Tun Juhar secara langsungketika itu saya ialah pegawai yang mengendalikan Pusat Media DUN Sabah dan saya tabik kepada beliau.

“Kepimpinan Tun Juhar semakin terserlah setelah dilantik menjadi TYT Sabah. Beliau merupakan pemimpin yang berjiwa rakyat, bertoleransi serta mesra dengan rakyat. Keperibadiannya juga jelas menerusi aktiviti-aktiviti Yayasan Nur Jauhar yang kerap turun padang mendekati serta membantu masyarakat daif, yatim piatu, kurang berkemampuan, warga emas dan sebagainya tanpa memilih darjat dan keturunan,” jelas beliau.

Busmin yang mula bertugas di Jabatan Penerangan (JaPen) pada 2 Mac 1986 sebagai Penolong Pegawai Penerangan Gred B11 (kini Gred S29), berkelana di luar Sabah termasuk di Majlis Keselamatan Negara (1990 hingga 1997), Japen Selangor (2000 hingga 2005) dan bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Kementerian Pertahanan (2007 hingga 2009) sebelum balik ke Sabah pada 2010.

Paling signifikan, penganugerahan darjah, bintang dan pingat kepada rakyat ialah medium mendekatkan pemimpin dengan rakyat yang berbilang kaum serta penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada kemajuan dan pembangunan negara.

-SF

Tinggalkan komen anda