Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Hala Tuju ATM Terus Diperkasa

By 14 November 2017November 21st, 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan dan Foto: Noorshazana Shaadan

PORT DICKSON, 14 Nov (Malaysiaaktif) – “Saya sangat gembira dengan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2018 yang lalu”.

Demikian kata Sarjan Sega Subramaniam, 40, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Markas 12 Briged yang berpendapat Bajet 2018 melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang diumumkan merupakan satu usaha yang baik daripada kerajaan dalam membela nasib dan kebajikan warga ATM.

Tambahnya, MINDEF sentiasa memastikan segala aspek kesejahteraan dan kebajikan anggota ATM berada dalam keadaan yang terbaik.

Sarjan Sega

Sarjan Sega

Sega yang ditemui ketika Sambutan Deepavali Tentera Darat 2017 melahirkan rasa teruja untuk hadir sebagai tanda sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Hishamuddin dalam membela kebajikan warga ATM.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husssein menegaskan  pelbagai usaha telah diambil bagi memastikan Hala Tuju ATM yang berlandaskan lima teras utama terus difahami dan diperkasakan.

“Apa yang dirancang selama ini bukan sesuatu yang direka atau cakap kosong. Tetapi memerlukan komitmen daripada semua peringkat dalam merealisasikan hala tuju ini demi kebajikan anggota dan veteran ATM terus terjaga.

“Jawatankuasa Induk telah ditubuhkan dalam memastikan lima teras utama Hala Tuju ATM ini dapat dilaksanakan sebaiknya. Penstrukturan perlu supaya hala tuju ini sampai kepada penggerak utama. Pemantauan secara metro dan tugasan khas yang melihat secara mikro adalah sangat diperlukan.

Ujarnya lagi, lima teras yang meliputi Kesiagaan, Keselamatan, Transformasi PLKN, Kebajikan dan Diplomasi Pertahanan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjayakan inisiatif ini.

“Usaha kita sekarang, dalam Jelajah Perkasa Perwira, saya sendiri akan turun ke bawah untuk memastikan agenda perumahan kita tidak ada tekanan supaya apa yang kita masukkan dalam Pelan Induk menjelang 2030 dapat dilaksanakan,” katanya lagi.

“Bagi veteran ATM pula, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap mereka. Justeru, kepimpinan tertinggi ATM perlulah untuk turun dalam menyampaikan hasil dan mesej yang membantu ini kepada mereka.

“Saya juga akan memastikan usaha memelihara kebajikan anggota ini tidak terhenti setakat ini. Pelbagai inisiatif akan terus dilaksanakan termasuk agenda pendidikan, kesihatan dan kos sara hidup,” jelasnya.

Sementara itu, dalam sidang media, Hishammuddin menyatakan bahawa kerjasama ATM dengan Celcom amatlah bermakna khususnya penglibatan sektor swasta bersama ATM dalam menjaga kebajikan anggota dan veteran ATM. Kesanggupan Celcom memberikan kemudahan komunikasi untuk warga ATM, veteran dan warga awam ATM adalah dipuji.

Hishammuddin ketika sidang media

Hishammuddin ketika sidang media

Selain itu, pelbagai usaha juga turut diambil dalam meringankan beban dan kos sara hidup anggota seperti transformasi Kedai Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) yang banyak berkisah untuk membantu anggota dan veteran ATM.

Mengulas lanjut tentang wujudnya isu rasuah dalam mendapatkan projek di Kementerian Pertahanan (MINDEF), beliau berkata usahasama swasta dan MINDEF ini bukanlah alasan untuk mendapatkan projek dan keuntungan semata-mata.

“Apa yang ada pada mereka, itulah yang kita perlukan. Adalah memalukan sekiranya mencari kepentingan melalui MINDEF,” tegasnya lagi.

Hishammuddin berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pakej TigaTiga (ATM-Celcom) dan Sambutan Deepavali Tentera Darat 2017 di Pusat Latihan Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, sebentar tadi.

Dalam majlis ini, pelan pasca bayar terbaru Celcom, Pakej TigaTiga telah diperkenalkan. Pelan ini diperkenalkan sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanan anggota dan veteran ATM dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Negara.

Tinggalkan komen anda