
Liputan dan Foto oleh: Sharifah Hazwani Syed Mahusin & Mazlina Abdul Aziz (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 1 Nov (Malaysiaaktif) – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menyifatkan Memorial Tun Hussien Onn sebagai pengiktirafan besar daripada Kerajaan Malaysia kepada seorang negarawan yang begitu besar jasa dan pengorbanannya dalam sejarah tanah air.
“Ia merupakan satu hadiah yang cukup istimewa dan menyentuh hati kami sekeluarga. Walaupun reka bentuk moden, tetapi masih lagi mengekalkan ciri-ciri tempatan dan kesederhanaan yang turut mencerminkan keperibadian ayahanda saya, Tun Hussein Onn,” katanya.
Hishammudin berkata demikian selepas majlis penyerahan dokumen bangunan Memorial Tun Hussien Onn dan sijil Green Building Index (GBI), di sini hari ini.
Pengarah Urusan United Engineers (Malaysia) (UEM) Edgenta Berhad, Datuk Azmir Merican selaku kontraktor projek menyerahkan sijil GBI tersebut kepada Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Azemi Abd Aziz dan disaksikan oleh Hishammuddin sebagai wakil keluarga Allahyarham Tun Hussien onn.
Menurut Azmir Merican, projek bangunan Memorial Tun Hussien Onn yang bercirikan bangunan hijau ini telah mula dibina pada 27 Julai 2015 dan menelan belanja sebanyak kira-kira RM39 juta.
“Reka bentuk bangunan Memorial Tun Hussien Onn kini sangat moden dan telah diberi pengiktirafan dan direkodkan sebagai bangunan hijau pertama oleh Arkib Negara Malaysia.
“Teknologi yang telah diterapkan ini mampu memupuk dan mengekalkan kelestarian terhadap alam sekitar serta keupayaan menjana penjimatan tenaga, penggunaan air dan persekitaran yang lebih sihat,” jelasnya.

Datuk Azmir Merican menyerahkan sijil GBI kepada Datuk Azemi Abd Aziz, disaksikan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien dan adik perempuannya, Roziah Hanis Hussein
Sementara itu, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Azemi Abd Aziz dalam ucapannya menjelaskan bahawa Memorial Tun Hussien Onn yang telah dirasmikan pada 10 Februari 2006 ini bertujuan untuk menyimpan, memelihara, mempamer dan menyebarkan maklumat serta memberi kemudahan rujukan dan penyelidikan berkaitan wira negara ini.
“Namun begitu, memorial Perdana Menteri Malaysia ketiga ini telah ditutup pada 2014 dan berpindah ke tapak baharu dan akhirnya telah siap dibina dengan gah dan indah pada 13 september 2017,” katanya.
Pada majlis yang sama, turut diadakan penyerahan ‘Mock-Key’ daripada Datuk Seri Hishammuddin kepada Datuk Azemi sebagai simbolik menandakan bangunan memorial Tun Hussien Onn adalah hak milik Arkib Negara Malaysia.
Bangunan Memorial Tun Hussein Onn terdiri daripada tiga tingkat yang merangkumi dewan serbaguna, repositori, kedai cenderamata, pejabat am, ruang galeri utama, ruang pameran berkala, halaman hijau serta bilik penyelidikan dan rujukan.
– AH