Skip to main content
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan dan Foto oleh: Jaitripta Kaur & Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Malaysiaaktif) – “Budaya tidak akan hidup segar, jika kita sendiri tidak menghormati bahasa kita dan tidak menggunakannya apabila peluang tersedia.”

Demikian menurut Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, sempena Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK), Sektor Pelancongan dan Kebudayaan 2017.

Katanya, disebabkan itulah sering dikatakan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ kerana tanpa bahasa jiwa bangsa kita akan mati.

“Melalui program dan aktiviti yang digerakkan oleh 18 sektor dan Kementerian ini menerajui sektor pelancongan dan kebudayaan,” katanya lagi.

Jelas Nazri, Bahasa Inggeris adalah satu bahasa penting, tetapi bukanlah satu-satunya bahasa yang menjamin kemajuan.

“Bukti yang jelas lagi nyata adalah, daripada lapan gergasi ekonomi dunia, iaitu negara-negara G7 dan China, hanya tiga buah negara sahaja, iaitu Amerika syarikat, United Kingdom dan Kanada yang rakyatnya berbahasa Inggeris. Malah rakyat Kanada juga sebahagiannya berbahasa Perancis,” katanya.

Acara Lafaz ikrar pengurusan tertinggi bahagian, jabatan dan agensi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan

Acara Lafaz ikrar pengurusan tertinggi bahagian, jabatan dan agensi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan

Majlis sambutan BBK Sektor Pelancongan dan Kebudayaan ini juga diserikan taklimat mengenai Dasar Bahasa Kebangsaan oleh Profesor Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr. Teo Kok Seong.

Dr. Teo dalam taklimatnya berkata, “Daripada Bahasa Melayu menjadi bahasa besar, kini perlahan-lahan menjadi bahasa kecil kerana kegiatan budaya tinggi kita pada hari ini kebanyakannya berlaku dalam Bahasa Inggeris, ini boleh mematikan Bahasa Melayu.”

“Kita perlu bijak melakukan perimbangan dalam pendidikan Bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa ilmu dan Bahasa Inggeris merupakan bahasa sumber ilmu. Jangan wujudkan persaingan antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” katanya lagi.

Taklimat Dasar Bahasa Kebangsaan oleh Profesor Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr. Teo Kok Seong

Taklimat Dasar Bahasa Kebangsaan oleh Profesor Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr. Teo Kok Seong

Selain itu, pelbagai acara lain turut diadakan seperti acara Lafaz Ikrar serta penyampaian anugerah penghargaan kepada pengurusan tertinggi bahagian, jabatan dan agensi kementerian ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Nor Yahati Awang dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Yean Yoke Heng.

– AH

Tinggalkan komen anda