
Laporan dan Foto oleh: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
KUALA LUMPUR, 7 Dis (Malaysiaaktif) – “Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 menjadi platform terbaik antara teori dan praktikal. Di sini saya dapat membina keyakinan saya membuat persembahan depan khalayak ramai,” ujar Muhammad Amir Aizat.
Aizat bersama-sama rakan-rakan merupakan peserta koir dari Fakulti Muzik UiTM, Shah Alam yang mengiringi PAU 2017 kali ini.
“Biarpun dibayangi rasa gemuruh membuat persembahan di hadapan pemimpin tertinggi negara malah ada delegasi dari luar negara, saya gembira kerana dapat turut serta dalam persembahan kali ini.
“Persembahan di sini agak berbeza dengan persembahan saya yang lain kerana jumlah penonton yang agak ramai, dan kebanyakkan mereka adalah insan kehormat,” ujar pelajar tahun pertama yang berasal dari Kulai, Johor ini.
Sementara itu, seorang lagi peserta koir, Nurazila Ya’acob cukup teruja menyertai perhimpunan kali ini biarpun sekadar memenuhi tuntutan tugasan kursus yang menjadi perkara wajib bagi pelajar Jurusan Seni Persembahan.
“Setiap semester kami ditugaskan untuk membuat persembahan sebagai subjek wajib ambil, dan ini merupakan persembahan pertama saya. Biarpun berpuas hati, saya akan memperbaiki persembahan saya pada masa akan datang.
“Selesai persembahan tadi ada yang ucapkan tahniah, semua rasa penat tiba-tiba hilang,” ujar pelajar yang bercita-cita menjadi seorang guru muzik ini.

Biarpun berpuas hati, saya akan memperbaiki persembahan saya pada masa akan datang – Nurazila Ya’acob
Nurazila turut mendapat nasihat daripada abangnya sendiri yang juga merupakan graduan dalam bidang yang sama.
“Selain tunjuk ajar daripada pensyarah-pensyarah, abang saya turut memberikan nasihat seperti teknik penjagaan suara dengan betul, tetapi yang pastinya tiada pantang larang dalam pemakanan,” jelasnya yang berhasrat menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi.
Menurut seorang lagi ahli kumpulan koir tersebut, Muhammad Nur Akmal Abd Aziz, 18, pengalaman merupakan guru terbaik dalam mendidik.
“Ketika membuat persembahan kelmarin, saya sebenarnya terlupa lirik tetapi tetap meneruskan persembahan seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Disebabkan insiden tersebut, saya mempersiapkan diri saya sebaiknya dalam menghafal setiap lirik lagu yang akan dipersembahkan agar kejadian kelmarin tidak berlaku lagi,” katanya yang menjadikan Faizal Tahir sebagai ikonnya dalam bidang seni suara ini.
Akmal turut berikrar untuk menjadikan muzik tempatan lebih dihargai dan diberi layanan sama rata seperti yang berlaku di negara-negara barat.
– AH