Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurPutrajayaWilayah Persekutuan

Pameran Kreatif Wanita Asah Bakat Keusahawanan Global

By 7 Disember 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Malaysiaaktif) – “Kita dapati ada produk yang sangat berpotensi, mesra persekitaran dan berinovasi itu dibawa oleh semua negeri yang terlibat. Mereka ini membuka gerai produk tempatan yang menunjukkan ciri-ciri negeri itu sendiri dalam mempersiapkan diri ke arena global”.

Demikian kata, Pengerusi Pameran Kreatif Wanita 2017, Datuk Dr. Noraini Ahmad ketika ditemui di aras 5, PWTC ketika sesi perasmian petang tadi.

Menurut Noraini, penganjuran kali keempat itu mempunyai kelainan kerana pengisian yang dibuat oleh pihak MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia).

“Pada tahun ini, kita buka kepada semua negeri. Hanya Kelantan dan Terengganu tidak terlibat mungkin kerana kekangan banjir.

“Kita adakan perkongsian cerita kejayaan, padanan perniagaan selain beri nasihat kepada usahawan yang datang. Di samping itu, kita buat pameran untuk melihat syarikat yang ada potensi untuk kita ketengahkan dan kembangkan,” ujarnya.

Pengerusi Pameran, Dr. Noraini menyifatkan pempamer berpotensi, mesra persekitaran dan berinovasi

Pengerusi Pameran, Dr. Noraini menyifatkan pempamer berpotensi, mesra persekitaran dan berinovasi

Selain itu, Noraini turut berkongsi kepelbagaian pameran yang ada pada tahun ini.

“Kita ada bunga daripada daun getah. Usahawan Sabah pula gunakan batang pisang dan buat kertas, itu contoh inovasi. Usahawan Melaka dengan manik buatan tangan yang sebenarnya dah pupus tetapi mereka bawa ke sini dan kita lihat industri ini masih boleh dikembangkan.

“Saya harapkan usahawan wanita ini akan mengambil serius bukan sekadar untuk pameran tetapi berkembang. Contoh seperti Pulau Pinang, mereka buat produk batik menerusi buah pala yang terkenal di sana.

“Inilah antara kelainan yang kami cuba bawakan dan insya-Allah kami mahu mereka ini terus mengembangkan perniagaan,” jelasnya lagi.

Yasmin (kanan) bersama pereka batik Aisha Hamaza (kiri) menunjukkan batik Pulau Pinang

Yasmin (kanan) bersama pereka batik Aisha Hamaza (kiri) menunjukkan batik Pulau Pinang

Sementara itu, pempamer Pulau Pinang, Yasmin Siddik menjelaskan produk batik mereka mengambil masa hampir tiga bulan untuk disiapkan setelah mengambil kira aspek keseluruhan Pulau Pinang.

“Pada asalnya, batik yang ada di Pulau Pinang adalah dari banyak tempat. Jadi Adun Pulau Betong, Datuk Muhammad Farid Saad mahu Pulau Pinang mempunyai produk batik tersendiri untuk orang luar yang datang.

“Kami mengambil masa selama tiga bulan untuk buat penyelidikan berkenaan Pulau Pinang sebagai sebuah pulau yang dikelilingi oleh pantai. Ada buah dan flora, jadi kami ambil buah pinang. Ada juga corak kulit cengkerang di pantai,” katanya.

Corak batik bunga raya, dan bunga melur

Corak batik bunga raya, dan bunga melur

Dari segi rekaan, Yasmin menggunakan bahan-bahan yang ada di Pulau Pinang sebagai inspirasi dalam menghasilkan corak batik.

“Bila buah pinang dipotong dapat satu corak.Putik buah pinang juga kita jadikan motif bunga-bungaan, ada juga corak cengkerang. Kemudian kita gunakan warna laut.

“Bunga yang berwarna oren ini misalnya, ada bunga raya. Batik warna merah pula ada corak bunga melur yang cukup signifikan dengan peranakan India, Cina, Melayu yang biasanya meletaknya di sanggul dalam perkahwinan,” jelasnya.

Yasmin turut berkongsi cerita perbezaan batik mereka yang menggunakan kain cotton (kapas).

“Pada Mac lepas, kami buat pertunjukan fesyen untuk merasmikan Batik Pertama Pulau Pinang. Semua negeri ada batik tetapi mereka gunakan kain sutera atau kain satin tetapi kami mahu jadi berbeza dengan menggunakan kain cotton.

“Semua motif terdiri daripada buah pala, putik bunga, buah dia ada urat kita jadikan corak. Elemen maskulin kita letak pada baju lelaki. Elemen feminin kita letak pada pakaian wanita seperti jubah.

“Produk batik kita buat sesuai untuk semua peringkat umur, untuk orang berkarier, untuk kasual kerana kami menggunakan cotton, yang merupakan jenis kain yang versatil,” ujarnya lagi.

Shahrizat dan Tok Pa ketika merasmikan pameran (Foto: Syed Hisham Shah)

Shahrizat dan Tok Pa ketika merasmikan Pameran Wanita Kreatif (Foto: Syed Hisham Shah)

Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil ketika ditemui tengah hari tadi menyifatkan tahun ini merupakan tahun Wanita UMNO paling sibuk.

“Untuk makluman Tok Pa (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapa Mohamed) kami dah mula program sebelum PAU, semasa PAU dan insya-Allah selepas PAU.

“Pertama kita nak ucap terima kasih kepada Tok Pa kerana telah menyambung kontrak Datuk Dr Noraini Ahmad selaku Pengerusi MARTRADE. Kalau ada peluang lain di bawah Kementerian Tok Pa jangan lupa Wanita UMNO sebab ramai antara kita yang mempunyai kelulusan dan kelayakan.

“Tahun 2018 ialah Tahun Memperkasakan Wanita . Saya yakin Tok Pa melalui agensi yang ada mampu mengangkat wanita dalam bidang keusahawanan.

“Saya yakin bahawa pada hujung tahun hadapan jika ada KPI (indeks prestasi utama) akan ada beberapa orang usahawan wanita di bawah kementerian Tok Pa yang akan berjaya bukan hanya di peringkat kebangsaan bahkan peringkat global,” ujarnya.

Pameran Kreatif Wanita 2017 yang melibatkan 16 pempamer dari pukul 10.00 pagi hingga 5.00 petang sehingga Sabtu ini dirasmikan oleh Tok Pa pada tengah hari tadi.

– AH

Tinggalkan komen anda