Skip to main content
Berita TempatanSabah

14 Graduan Amerika Syarikat Kongsi Ilmu Di Sekolah Luar Bandar

By 25 Januari 2018Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 14 orang sukarelawan yang merupakan graduan universiti daripada Amerika Syarikat (AS) akan menjadi pembantu guru di sekolah luar bandar selama tempoh 10 bulan.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahasa Inggeris, Mohd Fadzil Abd Rozan, graduan yang dibawa melalui program English Teaching Assistant (EST) merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Mohd Fadzil (kiri) menerima cenderhati daripada Diuh (Kanan).

Mohd Fadzil (kiri) menerima cenderhati daripada Diuh (Kanan).

“14 buah sekolah yang terlibat antaranya terletak di daerah Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort, Tenom dan Keningau sebagai pembantu guru bahasa Inggeris.

“ETA ini akan membantu dengan membuat program-program dan aktiviti-aktiviti yang memerlukan murid bertutur menggunakan bahasa Inggeris.

“Pemilihan sekolah pula mestilah mempunyai kriteria yang perlu dibantu iaitu yang berada dalam pencapaian band 6 dan band 7.

“Walau bagaimanapun, tujuan bukan untuk membaiki keputusan SPM semata-mata, tetapi lebih kepada mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik,” jelasnya.

Tambahnya, ETA kali ini merupakan fasa yang kedua yang bermula tahun ini sehingga 2020. Sekolah yang sama akan menerima ETA yang berlainan selama dalam tempoh itu.

“Program lawatan ETA ke Sekolah Menengah Putatan ini merupakan sebuah orientasi kepada mereka sebelum ditempatkan di sekolah masing-masing.

“Kami berikan mereka pendedahan awal terlebih dahulu dengan memperkenalkan ciri-ciri sekolah yang ada di Malaysia.

“Persepsi pelajar dengan kehadiran orang dari luar akan dapat memberikan mereka motivasi, bila ada motivasi kita akan cuba membina keyakinan untuk para pelajar ini menggunakan bahasa Inggeris, dan itu ialah asasnya,” katanya.

Jelas Mohd Fadzil, sebelum program ETA dijalankan, tidak ramai pelajar yang meminati bahasa Inggeris tetapi selepas itu peningkatan dapat dilihat dan pelajar mampu bercakap di hadapan orang ramai, berlakon teater dan terlibat dalam konsert.

“Kami juga terkejut pelajar di luar bandar mampu membuat begitu, kiranya perubahan itu juga dari segi ketrampilan serta kemahiran diri dan bukan akademik sahaja.

“Tahun ini JPN akan memastikan sekolah seluruh Sabah melaksanakan Highly Immersive Programme (HIP) iaitu sebuah program yang diperkenalkan di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid melalui pendedahan yang lebih tinggi kepada bahasa tersebut di sekolah,”katanya.

Menurut Mohd Fadzil, JPN sangat menghargai sumbangan semua pihak dalam membantu meningkatkan pencapaian Bahasa Inggeris supaya ibu bapa faham bahawasanya ini merupakan satu agenda yang penting untuk meningkatkan MBMMBI.

JPN juga berharap dengan dasar Transformasi Luar Bandar agar jurang antara bandar dan luar bandar dapat dirapatkan dan pelajar luar bandar juga dapat menikmati peluang dan kemudahan yang sama seperti pelajar di bandar.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Putatan, Diuh Balimbang gembira kerana sekolahnya dipilih oleh JPN sebagai salah satu lokasi program ETA guru-guru daripada AS.

“Saya suka kerana ini merupakan salah satu langkah yang boleh memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar supaya lebih meminati bahasa Inggeris.

Gelagat pelajar bersama peserta ETA.

Gelagat pelajar bersama peserta ETA.

“Pelajar-pelajar ini minat belajar bahasa Inggeris, jadi guru-guru disini membuka jalan agar mereka dapat mencapai apa-apa yang diinginkan oleh mereka iaitu dengan bercampur dengan orang yang menggunakan bahasa itu untuk belajar dan memberi semangat.

“Sebelum ini saya pernah beritahu pelajar agar tidak takut berdepan dengan  mereka kerana jika mahu belajar kita tidak boleh takut dan segan bertepatan slogan sekolah ‘SMK Putatan Selangkah Kehadapan Mendepani Perubahan’.

“Kebanyakannya orang yang pandai itu mereka pernah membuat banyak kesalahan jadi dengan bertutur dan berkomunikasi dengan orang lain, kita akan menyedari jika kita menggunakan perkataan yang tidak betul,” katanya.

Menurutnya juga, memang penting pada pelajar untuk fasih berbahasa Inggeris supaya mereka dapat bersaing dengan pelajar-pelajar dari negara luar seperti Singapura yang merupakan antara yang terbaik di dunia.

Dalam pada itu, peserta ETA, Katherine Elizabeth Kutash, 24 merasa sangat gembira dan teruja terpilih ke Malaysia selepas agak lama menanti jawapan permohonannya.

Dia yang memperoleh Ijazah di Universiti Florida dalam Kesusateraan English menjangkakan cabaran terbesar yang akan dihadapi di Sabah ialah menjalani hidup dengan komuniti yang baharu yang sangat berbeza dari tempat asalnya di Florida.

“Saya akan ditempatkan di Kuala Penyu yang saya tidak pernah lawati tetapi saya dikhabarkan tempat tersebut merupakan sebuah pekan kecil sedangkan saya pula berasal dari bandar besar.

“Pastinya saya perlu cepat membiasakan diri dalam bulan pertama dan pasti timbul masalah bahasa tetapi saya juga teruja untuk mempelajari bahasa Melayu dan perlu banyak berlatih.

“Sebelum ini saya pernah mengajar Bahasa Inggeris kepada orang dewasa, melalui pengalaman itu, mempelajari Bahasa Inggeris boleh dimulakan dengan perbualan tidak formal untuk meningkatkan keyakinan mereka,” katanya.

Sesi memperkenalkan diri peserta ETA.

Sesi memperkenalkan diri peserta ETA.

Namun begitu, Katherine lebih berminat untuk mengajar dalam suasana yang menarik seperti melalui drama dan lagu atau mengadakan aktiviti luar seperti bercucuk tanam tetapi masih menggunakan bahasa Inggeris.

Manakala seorang lagi peserta ETA, Spencer Rivera, 22 yang mengambil Ijazah dalam pengurusan Perniagaan di Koleh Boston, Massachusetts sukarela memilih Malaysia sebagai lokasi ETA.

“Saya lebih gemar mengajar dalam suasana yang diselitkan lawak dan santai supaya pelajar faham bahawa tiada masalah jika mereka ada membuat kesilapan.

“Mereka tidak perlu menjadi sempurna dan saya akan sentiasa mendorong mereka untuk sentiasa mencuba dan akan membantu memperbaiki kemahiran mereka.

“Saya rasa semua orang juga melalui perasaan yang sama iaitu akan merasa gementar jika perlu berucap di hadapan dan saya sendiri turut belajar cara untuk mengatasinya.

“Apa yang saya mahu pelajar tahu bahawa saya yang juga seorang guru yang menggunakan bahasa Inggeris setiap hari malahan berasal dari Amerika turut merasai perasan gementar seperti mereka dan itu merupakan perkara biasa dan saya harap kami dapat atasinya bersama,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

-SF

Tinggalkan komen anda