
Laporan dan foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
BACHOK, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan optimis menjelang 2019, liputan jalur lebar akan mencapai 95 peratus capaian di seluruh negara.
Berucap pada majlis Kembara Jalinan Kasih Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)-Menghubung dan Menyatu (CTU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di Kampung Tepus, di sini, ketua pengarahnya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman percaya hasrat ini dapat dicapai sepenuhnya melalui usaha bersama semua pihak.
“Dalam negara kita yang sedang menuju ke arah sebuah negara maju menjelang 2020, dan juga ke arah Transformasi Nasional 2050, ada jurang yang begitu luas di antara yang telah menerima manfaat program-program kerajaan selama ini dan juga mereka yang ketinggalan.
“Sebab itulah di dalam program ini, tiada terpinggir tiada tertinggal. Kita hendak menyantuni mereka, bagaimana lagi yang boleh kita bantu,” jelasnya ketika menyampaikan sumbangan bantuan berupa keperluan harian kepada 25 keluarga susah di sekitar kampung ini, kelmarin.
Menurut Ibrahim masih ada masyarakat yang tidak mendapat jaringan perhubungan sehingga hari ini terutamanya yang berada di pedalaman.
“Dengan bantuan daripada pengerusi-pengerusi dan ahli-ahli Komuniti 1Malaysia, maka dapatlah kita menggerakkan rakan-rakan strategik kita ini untuk menyantuni mereka,” katanya lagi.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Jabatan Penerangan telah melaksanakan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan – Menghubung dan Menyatu (NBOS-CTU) KKMM yang bertujuan membantu rakyat yang kurang bernasib baik secara langsung menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Menerusi Program Kembara Jalinan Kasih NBOS-CTU ini (pembaikan rumah) di Kelantan ini, kita telah mengenal pasti sebanyak 60 buah rumah milik golongan kurang berkemampuan untuk dibaiki sepanjang tahun ini.
“Kos keseluruhan program ini mencecah RM25,000 bagi setiap rumah, dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat melalui gotong-royong oleh para sukarelawan,” jelas Ibrahim lagi.