
Laporan dan foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
TUMPAT, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Masyarakat Siam di sini di seru untuk terus menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Abd. Aziz menyeru masyarakat Siam di Tumpat ini khususnya agar kekal dalam perpaduan yang harmoni.
“Marilah kita terus suburkan semangat kebersamaan dan kesepakatan ini dan berharap supaya kita lebih bersatu hati dengan penuh kasih sayang di antara sesama kita,” ujarnya ketika berucap sempena program Kembara Jalinan Kasih NBOS-CTU KKMM di Wat Kampung Mentua, Pengkalan Kubor, di dalam program bersama-sama komuniti Siam, di sini, malam kelmarin.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman mengharapkan agar kemajmukan negara pada hari ini sebagai sebuah negara yang merdeka berkekalan.
“Dalam kita menjadi sebuah negara yang maju kita hendaklah pastikan bahawa fahaman kita terhadap ciri-ciri budaya kita, hormat-menghormati antara satu sama lain dan menghargai nilai-nilai budaya dalam masyarakat khususnya daripada aspek gaya hidup, kebudayaan, kepercayaan dan bahasanya yang kita fahami bersama.
Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan menambahkan lagi warna-warna ciri-ciri Malaysia yang berdaulat. Dalam pada itulah keupayaan dan juga kejayaan negara kita menjadikan Malaysia Truly Asean kerana di sini kita wujud bersama-sama,” ucapnya semasa merasmikan Program Masyarakat Siam Bersama Ketua Pengarah Jabatan Penerangan.
Dalam majlis tersebut, seramai 300 penduduk Kampung Mentua dan Kampung Kubang Bemban turut menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian.
Turut hadir Ahli Dewan Negara yang mewakili masyarakat Siam, Senator Aknan Ehtook, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail.