Skip to main content
Berita TempatanSabah

Bangga Punya Identiti Dusun Liwan

By 31 Januari 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Eviannie Kin / Foto: Jeffren Malaning (Sabah)

RANAU, 31 Jan (Malaysiaaktif) ā€“ “Semestinya rasa bangga berbahasa ibunda kerana itu ialah identiti bangsa saya,” kata gadis dusun liwan yang tidak lekang dengan senyumannya.

Welna Amin, 22, berkata demikian ketika ditemui sedang membantu ibunya, Losiun Said di gerai pameran sempena Majlis Perasmian Program Jejak Etnik Dusun Liwan 2018 yang berlangsung di Kampung (Kg.) Tagudon Lama, Ranau, pagi Sabtu.

“Memang wajar perlu ada usaha untuk memelihara seni dan budaya etnik kaum agar tidak pupus ditelan zaman.

Welna dan ibunya, Losiun.

Welna dan ibunya, Losiun.

“Lagipun, generasi muda seperti kami tidak dinafikan, ada segelintir yang kurang mahir dan langsung tidak tahu berbahasa ibunda selain kurang arif tentang adat tradisi etnik kaum masing-masing.

“Hal itu mungkin atas faktor kahwin campur dan juga bahasa ibunda bukan amalan harian dalam keluarga,” komennya yang kiniĀ sedang bercuti semester dari pengajiannya di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang Pengurusan Seni.

Welna merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik berasal Kg. Tinatasan, Ranau itu berkata, antara tradisi yang wajib dipertahankan ialah paluan gong atau yang disebut ‘tagung’ yang wajib ada dalam setiap majlis keramaian.

Manakala ibu Welna, Losiun Said, 47, berkata dia sengaja untuk sentiasa berbahasa dusun liwan agar anak-anaknya mahir dalam bahasa ibunda mereka.

“Sebabnya saya tidak mahu bangsa saya iaitu dusun liwan hilang dari dunia ini.

“Maka semestinya anak-anaklah yang akan meneruskan bahasa dan warisan ini untuk generasi yang akan datang,” katanya.

Selain bercucuk tanam dan menjual sayur-sayuran, Losiun juga masih meneruskan amalan mengutip herba-herba traditional yang kemudiannya untuk dijual di Tamu Kundasang sebagai sumber pendapatan keluarganya.

Bagi merekod khazanah warisan etnik kaum Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) sedang dalam proses merekod dan menerbitkan buku-buku etnik kaum yang terdapat di negeri ini.

Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, sehingga kini LKNS sudah membukukan kira-kira sebanyak 14 buku etnik kaum iaitu antaranya, suku kaum Tatana, Sukang, Bisaya dan Rungus.

Katanya, perjalanan masih jauh untuk membukukan semua seni, budaya, kepercayaan dan mitos bagi lebih 20 suku kaum yang terdapat di Sabah tetapi usaha LKNS itu berterusan untuk merekod dan memproses semua maklumat kepada buku sebagai rujukan generasi masa hadapan.

“LKNS telah berkampung di Kg Tagudon Lama, Ranau selama tiga hari dengan kerjasama beberapa kampung sekitarnya untuk mengumpul maklumat dan data mengenai seni, budaya serta kepercayaan dusun liwan.

Masidi bersama para tetamu yang lain sedang memalu gong serentak sebagai simbolik perasmian

Masidi bersama para tetamu yang lain sedang memalu gong serentak sebagai simbolik perasmian

“Ini kerana, dusunĀ liwan ada sejarah yang tersendiri yang mempunyai keunggulan dan kekuatannya maka memang sewajarnya untuk diberi perhatian.

“Mudah-mudahan dengan pengumpulan tersebut, sedikit sebanyak LKNS dapat menyumbang kepada pengekalan dan pemeliharaan serta pemuliharaan seni dan adat orang-orang Sabah,” katanya kepada media ketika ditemui selepas majlis perasmian tersebut.

Jelas Masidi, walaupun dusun liwan dan dusun bundu liwan datang dari daerah yang sama tetapi ada sedikit perbezaan dari segi lenggok bahasa pertuturan dan kepercayaan.

“Misalnya dusun bundu liwan di Bundu Tuhan, kita lihat bahasanya hampir sama tetapi cara menutur dan pertuturannya ada perbezaan sedikit iaitu dari segi lagu dan lenggok bahasanya.

“Ini yang kita mahu melihat secara mikro semua perbezaan mahupun persamaan sebagai satu keperluan untuk kita kekalkan dan jadikan semua itu sebagai bahan rujukan pada masa akan datang,” katanya.

Bagi WahidinĀ Rabi, 60, menyokong sepenuhnya program jejak etnik ini demi kelangsungan warisan etnik kaum.

“Kalau boleh peliharalah bahasa dan adat kita yang dahulu agar berterusan dan tidak lenyap di dunia ini.

“Program-program kebudayaan sebegini wajar diketengahkan agar generasi muda dapat melihat sendiri betapa unik dan pentingnya memelihara dan memulihara warisan khazanah bangsa kita,” katanya.

Begitu juga kata Senimah Samad, 44, program-program sedemikian memberi impak agar generasi kini dapat sentiasa ingat dan menghargai kehidupan generasi terdahulu.

Senimah Samad.

Senimah Samad.

Dengan usaha itu, katanya, generasi baharu dapat mengenali warisan kaum masing-masing untuk diwariskan kepada generasi yang seterusnya.

Program Jejak Etnik Dusun Liwan anjuran LKNS bertujuan untuk menjejaki budaya lama etnik kaum tempatan yang kian lupus.

Usaha tersebut penting untuk selari dengan perubahan zaman dengan harapan dapat menonjolkan warisan dan kebudayaan etnik kaum tempatan Sabah kepada masyarakat luar.

Kampung yang terlibat menjayakan program tersebut adalah dari Kg. Tagudon Lama, Kg. Sosondoton, Kg. Torolobou, Kg. Tinatasan dan Kg. Ratau.

SF

Tinggalkan komen anda