
Laporan dan Foto oleh: Saraspathy Letchumanan & Zaharah Ismail (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 17 Jan (Malaysiaaktif) – “Kawasan Parlimen Bagan Datuk ditawarkan sebagai salah sebuah kawasan awal untuk membantu Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dalam penyediaan Pelan Integriti Daerah.”
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian pada majlis Pelancaran Buku ‘Nilai Integriti Pelbagai Agama dan Modul Integriti Prasekolah (MIPs)’ di Institut Integriti Malaysia, di sini semalam.
“Kerajaan komited untuk mencapai sasaran yang digariskan dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) termasuk mewajibkan setiap agensi awam mewujudkan Unit Integriti sejak tahun 2013” katanya.
Menurut Zahid, pada masa yang sama PIN akan disemak semula agar selari dengan kehendak dan keperluan semasa.
“Ia adalah penting agar ia selari dengan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).
“Usaha pembudayaan dan penghayatan integriti tidak boleh diserahkan kepada Institut Integriti Malaysia semata-mata,” jelasnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ucapan perasmian majlis Pelancaran Buku Nilai Integriti Pelbagai Agama Dan Modul Integriti Prasekolah (MIPs) di Institut Integriti Malaysia
Zahid menyeru agar semua pihak terus memberi sokongan padu kepada Institut Integriti Malaysia untuk mencapai matlamat dalam Pelan Integriti Nasional.
“Institut Integriti Malaysia, agensi-agensi kerajaan, swasta dan masyarakat sivil yang lain bersama dalam gerakan masa ini melalui pendekatan yang pelbagai dan konstruktif,” katanya lagi.
Buku ‘Nilai Integriti Pelbagai Agama’ dilancarkan untuk menekankan kepentingan integriti daripada perspektif pelbagai agama di Malaysia.
“Ia mengetengahkan lima nilai utama iaitu ketuhanan, keperibadian, kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan manakala Modul Integriti Prasekolah (MIPs) untuk menerapkan nilai murni seawal peringkat kanak-kanak,” tambah Zahid lagi.
MIPs mempunyai 12 cerita yang menekankan nilai-nilai integriti.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut melawat booth pameran yang disediakan oleh Institut Integriti Malaysia
Terdahulu, Institut Integriti Malaysia telah mengadakan Program Diskusi Intelektual bertemakan ‘Membina Negara Bangsa Berintegriti’ daripada perspektif institusi pelbagai agama dan pendidikan bagi meningkatkan peranan institusi-institusi agama dan pendidikan dalam memperkukuh persefahaman dan perpaduan antara kaum ke arah pembinaan sebuah negara bangsa berintegriti tinggi.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.
– AH