Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Kerajaan Negeri Kaji Semula Isu PMPG

By 25 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

KUCHING, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Sarawak bersedia membantu Tanah Pemakai Menua dan Pulau Galau (PMPG) dalam menyelesaikan isu berkaitan tanah Hak Adat agar ia boleh diguna pakai serta diterima oleh semua kaum bumiputera di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri akan menilai dan meneliti semua cadangan dan memorandum yang dikemukakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu berhubung definisi PMPG ini.

Abang Johari berucap merasmikan Persidangan Ketua Masyarakat Mengenai Pemakai Menua dan Pulau Galau di sini, semalam.

Abang Johari berucap merasmikan Persidangan Ketua Masyarakat Mengenai Pemakai Menua dan Pulau Galau di sini, semalam.

“Sehubungan itu, kita mahu satu definisi bagi PMPG yang tepat, sama serta dapat diterima semua kaum termasuk sampai mana sempadannya sebelum memasukkan ke dalam Kanun Tanah Negeri.

“Usaha untuk menyelesaikan hal ini mengambil masa agak panjang kerana perkara berkenaan melibatkan banyak perkara yang perlu dibincangkan oleh semua kaum di negeri ini,” jelasnya semasa merasmikan Persidangan Ketua Masyarakat Mengenai Pemakai Menua dan Pulau Galau, di sini semalam.

Abang Johari turut menjemput ketua-ketua masyarakat untuk hadir bagi memperincikan perkara ini kerana mereka dianggap orang yang arif mengenai adat kaum-kaum bumiputra di negeri ini.

Seorang juru catat persidangan, John Ling Tira menjelaskan antara objektif persidangan ini adalah untuk mendapat pengertian yang lebih jelas dan pemahaman yang jitu mengenai Pemakai Menua dari pelbagai kaum etnik di Sarawak mengikut adat resam masing-masing.

“Antara lain adalah untuk menerima maklum balas daripada ketua masyarakat terhadap cara dan kaedah dalam menentukan pemakai menua dan untuk menyediakan input tambahan bagi pindaan Kanun Tanah Sarawak dan perundangan-perundangan lain yang berkaitan untuk dikemukakan kepada pihak kerajaan negeri.

“Persidangan ini merupakan lanjutan daripada keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai status perundangan ke atas pemakai menua baru-baru ini, maka sebuah pasukan petugas telah ditubuhkan bagi mencari penyelesaiannya,” katanya.

Seramai 450 orang peserta terlibat dalam persidangan ini yang terdiri daripada temenggong, pemanca dan penghulu dari komuniti Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu, Melanau serta pihak-pihak yang berkepentingan dari seluruh negeri Sarawak.

Di samping itu, sebanyak lima kertas kerja yang berkaitan dengan perspektif dan pemahaman mengenai PMPG mengikut komuniti masing-masing akan dibentangkan.

– SH

Tinggalkan komen anda