
Laporan & foto: Fauzrina Bulka (Sabah)
KOTA KINABALU, 18 Jan (Malaysiaaktif) – Pameran Khazanah Islam yang diadakan di Masjid Bandar Raya Kota Kinabalu (MBKK) menghimpunkan pelbagai barangan yang berusia 200 hingga 500 tahun sebelum kemasukan Islam di nusantara.
Menurut pengerusi pameran, Yahamad Budin, pameran tersebut diadakan dengan kerjasama Muzium Negeri sempena sambutan hari ulang tahun MBKK ke-18 pada 18 Febuari ini.
“Barang-barang yang kita pamerkan ini kepunyaan peribadi daripada individu yang kebanyakannya dari Kalimantan dan Kepulaun Borneo.

Jainab (dua dari kiri) melihat manuskrip yang dipamerkan sambile diperhatikan oleh Jamal (dua dari kanan) dan Yahamad (kanan).
“Ini yang pertama kali diadakan di dalam masjid dan merupakan salah satu dakwah kita untuk mengundang bukan sahaja masyarakat Islam tetapi juga bukan Islam,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi MBKK ketika ditemui pada Khamis.
Menurutnya, pameran ini juga merupakan salah satu aktiviti untuk mendapatkan dana bagi memperoleh keuntungan di dunia dan akhirat.
“Maknanya setiap aktiviti yang kita buat itu, walaupun kita berbelanja besar untuk melaksanakannya dan ada untung sedikit dari segi kewangan, tetapi dari segi syiarnya tidak ternilai.
“Kami tidak menjual tiket di sini tetapi kami membuka derma infak kepada masjid dengan mengenakan RM2 untuk satu kepala, kepada dewasa dan kanak-kanak tempatan.
“Dalam pameran ini kita akan dapat lihat satu Al-Quran terbesar di dunia tulisan tangan di atas daun lontar, dan juga replika pedang Al-Ma’thur milik Rasulullah SAW selain Al-Quran lama ditulis dalam bahasa Jawa dari India,”jelasnya.
Tambahnya, di pintu masuk dewan juga turut diletakkan gimik rehal dan tasbih yang besar dengan harapan dapat menarik masyarakat melawat dan sekali gus membantu masjid mengimarahkan program-program selanjutnya.
Dalam pada itu, salah seorang pengunjung, Lizawana Matin merasakan ini merupakan peluang keemasan menghadiri pameran seumpama ini kerana ia hanya akan dapat dilihat di dalam MBKK sahaja.
“Saya baru tahu hari ini yang pameran ini diadakan kerana kebetulan datang ke sini untuk menghadiri Program Tilawah Al-Quran, sebaik sahaja selesai program, saya dan rakan-rakan terus mengambil keputusan untuk singgah ke sini.
“Saya rasa berbaloi dengan yuran kemasukan sebanyak RM2, bukan berbaloi dari segi hasil tetapi berbaloi dengan pengetahuan yang kita dapat apabila berkunjung ke sini, dan sangat bagus terutama sekali kepada generasi baharu kerana mereka boleh dapat sesuatu daripadanya.
“Di sekolah, mereka juga ada belajar tentang sejarah, malahan sejarah nabi dalam Al-Quran pun juga ada, jadi ini peluang mereka untuk melihat secara nyata tentang apa-apa yang sudah dipelajari,” ujar Lizawana.
Pameran Khazanah Islam tersebut diadakan bermula 8 Januari hingga 8 Mac nanti dan dibuka kepada umum.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid dan Pengerusi MBKK, Datuk Jamal Tun Sakaran.
-SF