Skip to main content
Berita TempatanSabah

Amal Kerja berpasukan, Berfikiran Kritis – Dr.Heric

By 18 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & foto: Zaidi Jamin (Sabah)

KOTA KINABALU, 18 Jan (Malaysiaaktif) – Penjawat awam khususnya anggota Hospital Queen Elizabeth (HQE) disaran agar terus bekerja secara berpasukan dan sentiasa berfikiran kritis dalam memberikan perkhidmatan rawatan dan perubatan kepada masyarakat.

Pengarah HQE, Dr. Heric Corray berkata, harapan masyarakat terhadap perkhidmatan hospital adalah tinggi dan persepsi ini perlu difahami setiap warga hospital merangkumi pelbagai peringkat untuk terus berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik secara berpasukan.

“Semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab, setiap kakitangan perlu berfikiran kritis dan positif. Umumnya individu yang berfikiran kritis dalam melaksanakan tugas akan membuat sesuatu tindakan dengan mempertimbangkan rasional, kesan kebaikan sama ada untuk kepentingan diri atau organisasi.

Dr. Heric  semasa menyampaikan perutusan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Pertama Hospital Tahun 2018

Dr. Heric semasa menyampaikan perutusan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Pertama Hospital 2018

“Selain memahami masalah dan sentiasa merancang, individu berfikiran kritis semasa bertugas akan terlebih dahulu membuat pertimbangan, memahami implikasi permasalahan dan berusaha mencari jalan terbaik yang akhirnya menghasilkan kesan dan produktiviti yang positif”.

Dr Heric berkata demikian semasa menyampaikan perutusan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Pertama Hospital 2018 di Auditorium Bangunan Berkembar HQE pada Khamis.

Tambahnya, setiap anggota bukan sahaja perlu mengekalkan momentum perkhidmatan terbaik tahun lalu, malah perlu berazam tingkatkan prestasi serta mengatasi kelemahan agar usaha ke arah mempertingkatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan sentiasa dan terus diberi keutamaan khususnya pada tahun ini.

Seramai lebih 500 warga HQE terdiri ketua-ketua Jabatan dan Unit serta pegawai-pegawai kanan Hospital hadir pada majlis tersebut.

Turut diadakan Lafaz Ikrar seluruh warga HQE diketuai Khairul Azhar diikuti sesi Inspirasi minda bertajuk ‘Terapi Minda ke Arah Sikap Positif’ oleh wakil Pejabat Seranta (FELDA) Sabah, Norhasdi Hassan .

 

-SF

Tinggalkan komen anda