Laporan: Idris Sani Saberun / Foto: Abdullah Sani Ariff Lokhman (Sabah)
KOTA KINABALU, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Saranan pemasangan Sistem Pengenalan Automatik (Automatic Identification System – AIS) daripada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) kepada para pengusaha bot di negeri ini masih di tahap yang rendah.
Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata pemasangan AIS pada setiap bot terutama pengusaha bot pelancongan amat penting bagi membantu APMM mengesan jika berlaku sebarang insiden kecemasan.
Berdasarkan insiden bot Katamaran karam di perairan Pulau Mengalum Januari tahun lalu, kita telah memanggil kesemua pengusaha bot pelancongan dan menunjukkan kepada mereka cara-cara sistem pengesanan laut APMM boleh mengesan bot-bot yang mempunyai peralatan AIS jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Susulan itu, kita telah membuat percubaan kepada salah sebuah bot pelancongan dan kita telah dapat mengesan setiap pergerakan bot ini sehingga ke Pulau Mengalum dan Pulau Mantanani.
Sebarang perubahan pergerakan bot akan dapat dikesan oleh sistem ini termasuk perubahan kelajuan bot, sekiranya berlaku penurunan kelajuan yang mendadak kepada bot tersebut menjadi indikasi awal kepada sistem bahawa ada sesuatu yang berlaku kepada bot tersebut.
APMM memiliki aset pengesan bot yang canggih bernilai kira-kira RM24 juta namun jika tidak dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pihak pengusaha bot ia menjadi sesuatu yang sia-sia.
Sehubungan itu, APMM akan terus meningkatkan lagi sesi penerangan berkenaan dengan aspek keselamatan kepada semua para pengusha bot di negeri ini.
Terdahulu mengulas perkara yang sama Ketua Pengarah APMM, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar, menyarankan agar setiap pengusahan bot mematuhi semua aspek keselamatan sebelum memulakan sebarang aktiviti di laut.
Untuk itu, kita mohon agar setiap operator bot menggunakan jeti-jeti yang berdaftar bagi mengambil atau menurunkan penumpang dan barang-barang selain memastikan setiap bot dilengkapi alat komunikasi (radio VHF), jaket keselamatan, peralatan PLB (Personal Locator Beacons) dan suar (flare) sebelum memulakan perjalanan.
Bagi pengusaha bot besar, peralatan EPIRB (emergency position-indicating radiobeacon), bot penyelamat atau rakit penyelamat (liferaft) dan peralatan yang disebutkan perlulah disediakan bagi memudahkan kerja-kerja mencari dan menyelamat jika berlaku sebarang insiden yang tidak dingini berlaku.
Zulkifli berkata demikian pada sidang media dan taklimat pencapaian APMM kepada para media sempena lawatan kerja pertama beliau ke Pejabat APMM Wilayah Sabah dan Labuan di sini, pada Selasa.
-SF