Skip to main content
Berita TempatanSabah

RM24 Juta Imbang Harga Getah Sabah, Semenanjung

By 24 Januari 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Mohammad Abdul Rahman / Foto: Johnny George Kimlon (Sabah)

BONGAWAN, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM24 juta diperuntukkan untuk mengimbangi perbezaan harga getah di Sabah dengan Semenanjung, iaitu RM20 juta daripada kerajaan negeri manakala RM4 juta daripada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dilaksana seawal tahun ini.

Menurut Menteri Luar Negeri selaku Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman, melalui inisiatif tersebut, pengusaha getah dapat menikmati kadar jualan tambahan 60 sen keseluruhan, menjadikannya RM1.60 sekilogram getah kentalan sama seperti di Semenanjung.

Anifah (Kanan depan) berucap dihadapan 1000 hadirin, 200 daripadanya ialah penerima bantuan BMT

Anifah (Kanan depan) berucap dihadapan 1000 hadirin, 200 daripadanya ialah penerima bantuan BMT

“Kita berterima kasih kepada Ketua Menteri serta Kerajaan Negeri Sabah atas langkah tersebut, serta bantuan-bantuan lain yang diberikan demi membela golongan peneroh getah khususnya,” katanya ketika merasmikan Program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Penoreh-Penoreh Getah Kawasan Bongawan di Dewan Masyarakat pada Sabtu.

Anifah turut menyeru agar rakyat menanamkan rasa syukur atas pelbagai kemudahan yang diberikan kerajaan yang kini dinikmati oleh semua secara amnya, termasuklah golongan nelayan serta mereka yang terlibat dalam industri pertanian.

“Saya difahamkan setiap tahun para penoreh getah menerima BMT RM600 dibayar berperingkat selama tiga bulan. Malah kerajaan turut memperkenalkan beberapa jenis bantuan lain kepada mereka yang terlibat dalam sektor terbabit.

“Apa yang penting kita berusaha dan saya minta rakyat Kimanis untuk ambil kesempatan terhadap bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan yang merancakkan lagi ekonomi setempat,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung isu perbezaan harga getah, Pengurus Besar LIGS, Datuk Harris Mathews berkata faktor logistik, serta ketidaktentuan jadual kapal antarabangsa ke pelabuhan Sabah yang menyebabkan komoditi tersebut perlu dihantar ke pelabuhan Klang atau Singapura sebelum dieksport yang turut mempengaruhi keadaan terbabit.

“Malah, LIGS selaku pengeksport getah di sini turut menanggung kos tambahan seperti, peralatan jentera, penghantaran melalui kapal,  kos bahan api dalam proses pengeluaran komoditi terbabit”.

“Permasalahan tersebut tidak dirasai di semenanjung kerana kedudukan kilang dekat dengan pelabuhan Klang, Singapura, sedangkan Sabah sejauh 1600 km dari lokasi”.

“Justeru, bagi menangani isu terbabit, Ketua Menteri selaku Menteri Keewangan Negeri bersama LIGS mengambil inisiatif tersebut dalam Bajet 2018 untuk mengimbangi harga getah sama dengan semenanjung, bermula 1 Januari 2018,” katanya.

Anifah (tengah) menyampaikan penerima pertama bantuan BMT (kanan) di Dewan Masyarakat Bongawan pada Sabtu

Anifah (tengah) menyampaikan penerima pertama bantuan BMT (kanan) di Dewan Masyarakat Bongawan pada Sabtu

Harris turut memberitahu media bahawa kerajaan bersedia menghadapi isu kejatuhan harga getah dunia akibat daripada pertumbuhan ekonomi global yang kian lembab.

“Harga getah gred SMRA20 jatuh daripada RM9.59 sen sekilogram (kg) pada Januari 2017 kepada  RM5.80 sen per kg pada Disember lalu. Malah ketika ini terus jatuh kepada 5.95 sen per kg, memberi impak kepada semua pengusaha getah di negara ini”.

“Oleh itu, kerajaan melaksana dua inisiatif dengan memperkenalkan BMT dan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dilaksana sejak 1 September 2015 dengan pembayaran kepada pekebun kecil mengambil kira harga lantai dan purata bulanan harga getah sebenar, setiap bulan,” jelasnya.

Menurut rekod LIGS, sebanyak RM7.3 juta subsidi telah diberikan dibawah projek tanam semula di bawah program National Key Area (NKEA) sejak 2012 hingga 2017 ke atas 696 hektar tanah di Bongawan sahaja dan tahun ini sebanyak 3,041 hektar tanah akan diusahakan di bawah projek terbabit di sini.

Lebih 1000 orang hadir ke program terbabit 200 daripada 644 penoreh getah secara simbolik menerima sumbangan BMT yang disempurnakan oleh Anifah.

Berdasarkan rekod, sekurang-kurangnya seramai 51,521 pekebun kecil di negeri ini telah menerima BMT, dengan peruntukan sebanyak RM 31.0 juta daripada Kerajaan Pusat.

Pada program tersebut, Anifah turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada 420 pelajar daripada 14 buah sekolah rendah seluruh Membakut sempena Program Kembali ke Sekolah di SJKC Pey Yin, dengan kehadiran 1000 ibu bapa dan pelajar.

-SF

Tinggalkan komen anda