
Laporan: Norliza Yusof / Foto: Azman Jumat (Sabah)
KOTA KINABALU, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Para pengguna di negeri ini kini dapat membuat perbandingan harga barang keperluan harian menerusi penggunaan aplikasi ‘Price Catcher’
Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, aplikasi itu diwujudkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mendidik dan membolehkan pengguna bijak memilih barangan dan berhemah ketika berbelanja.
“Para pengguna boleh memuat turun aplikasi tersebut melalui Apps Store atau Play Store dalam gajet masing-masing.
“Dengan adanya aplikasi ini sekali gus memudahkan pengguna dalam membuat pilihan dan boleh berbelanja dengan lebih bijak ketika membeli di kedai dengan harga yang berpatutan,” katanya.
Aplikasi ini menyenaraikan enam kategori utama iaitu barangan segar, barangan kering, barangan berbungkus, susu serta barangan bayi, produk kebersihan dan juga minuman.
Jainab berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pemberian Bantuan Persekolahan kementerian tersebut di pejabatnya, pada Khamis.
Jainab turut menyeru semua pengguna untuk menggunakan konsep 3M iaitu Memilih, Memboikot dan Melapor kepada pihak berkuasa jika harga dipamer peniaga melebihi daripada yang ditetapkan.
–SF