Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tawau Syurga Makanan Laut

By 7 Januari 2018Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Fauzrina Bulka & Izyan Farhana

TAWAU, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Jika bercuti di Sabah, pasti rugi jika tidak mencuba makanan laut yang sedap dan murah, sama ada dimasak sendiri atau dinikmati di mana-mana restoran pilihan.

Apabila ke bandar Tawau pula, menikmati hidangan yang siap dimasak dengan suasana yang menarik dan selesa, Restoran Sri Titingan pastinya menjadi pilihan utama.

Menurut pemiliknya, Isnaji Marasantu, 41, restorannya mampu menawarkan harga hidangan yang murah kerana bekalan ketam atau gamat diperoleh dari Semporna yang diusahakan sendiri oleh adiknya.

Isnaji(kanan) bersama anak sulung dan cucunya sempat tersenyum dalam kesibukan melayan pelanggan.

Isnaji (kanan) bersama anak sulung dan cucunya sempat tersenyum dalam kesibukan melayan pelanggan.

“Hampir setiap hari bekalan bahan mentah diambil sendiri dari Pasar Besar Tawau seperti sayur dan barangan dapur yang lain, manakala bekalan ikan pula akan dihantar oleh pembekal tetap terus ke restoran.

“Menu kegemaran pelanggan yang selalu menjadi pilihan ialah ikan masak mangga Thai, udang butter, sotong goreng tepung, kahanga lada kering dan menu wajib ada di setiap pesanan pelanggan ialah sup jagung isi ketam.

“Selain itu, menu baharu ketam sumbat mendapat sambutan yang luar biasa. 400 ekor ketam sumbat boleh habis dalam masa dua hari sahaja,” ujar Isnaji.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan tetap Sri Titingan ialah pengunjung tempatan dan juga warga Semenanjung yang mahukan hidangan makanan laut yang segar dengan harga yang sangat berpatutan.

Selain itu, Sri Titingan juga menjadi tumpuan selebriti dan pelancong dari luar yang dapat membantu menyumbang kepada industri pelancongan di Sabah.

Salah seorang pelanggan Sri Titingan, Haryani Hassan, 44, yang menjadikan restoran itu sebagai lokasi makan malam bersama keluarga memuji kepelbagaian menu yang disediakan dengan harga yang berpatutan.

Haryani (tengah) bersama suami dan ibunya menikmati hidangan makanan laut di Sri Titingan.

Haryani (tengah) bersama suami dan ibunya menikmati hidangan makanan laut di Sri Titingan.

“Sesekali balik bercuti di Tawau, sudah pasti saya tidak akan melepaskan peluang untuk merasai hidangan makanan laut bersama keluarga besar saya.

“Kesukaran utama pencinta makanan laut adalah untuk mencari restoran yang halal dan biasanya Sri Titingan menjadi pilihan utama kerana milik orang Melayu.

“Lagipun suasana restoran yang menarik dan selesa sesuai sebagai tempat pertemuan keluarga,” ujarnya yang bertugas di Melaka.

Walaupun harga makanan tidak jauh beza dengan tempat Haryani bertugas di Melaka, tetapi harga makanan laut kering semestinya sangat murah jika dibeli di Tawau.

Haryani pasti akan membeli stok makanan kering di Pasar Besar Tawau untuk simpanannya kerana hanya dapat kembali bercuti setahun sekali di daerah ini.

Apabila berkunjung ke Pasar Besar pula, ramai peniaga tempatan yang menjual makanan laut kering samada sotong, ikan dan udang beserta pakej pembungkusan yang memudahkan pelanggan membawa pulang sebagai oleh-oleh.

Antaranya ialah Siti Maisroh Mukhson, 61 yang sudah 37 tahun berniaga, bermula dengan menjual sayuran di Pasar Gantung sebelum berniaga makanan laut kering hingga sekarang.

“Saya sebenarnya mula berniaga dengan menjual sayur selama 16 tahun, tetapi nampaknya menjual makanan kering lebih senang kerana jualan tidak mudah rosak seperti menjual sayuran.

“Barang jualan juga senang diperoleh daripada pemborong tempatan seperti dari Inderasabah, Kunak dan Semporna dan sesekali saya ambil juga dari Indonesia.

“Melalui jualan ini jugalah saya membesarkan dan menyekolahkan enam orang anak saya manakala yang bongsu, Ahmad Ruzaidi Bakar pula saya minta untuk membantu saya di sini,” ujarnya bangga.

Menurut Siti Maisroh harga jualannya bergantung dengan keadaan cuaca, jika cuaca cantik dan bekalan ikan stabil, harga yang diletakkan adalah murah berbanding jika ombak kuat dan sering hujan, harga jualan akan menjadi mahal.

Tetapi dengan sikapnya yang ramah melayan pelanggan dan tidak berkira mengenakan harga, gerainya sering di kunjungi oleh pelanggan tempatan dan juga pengunjung luar dari Semenanjung.

Malahan, ada kalanya pelanggan jauh hanya akan menghubungi mereka untuk membuat pesanan dan barang akan dikirim melalui bas atau udara selepas bayaran dilakukan.

“Ramai pelanggan saya dari luar Tawau yang membuat pesanan seperti dari Kota Kinabalu, Labuan, Sarawak dan juga Semenanjung.

“Kalau tidak dipesan melalui telefon bimbit, ada kalanya selepas berkursus atau balik bercuti mereka akan datang sendiri membeli di sini.

“Biasanya anak bongsu saya yang tolong uruskan pesanan mereka atau jika perlu di pos ke mana-mana, manakala saya akan jaga di gerai saja,” jelasnya yang memulakan perniagaan seawal 7.00 pagi hingga 5.30 petang setiap hari.

Pelanggan pasti berpuas hati dapat membeli makanan laut yang segar dan murah di Tawau.

Pelanggan pasti berpuas hati dapat membeli makanan laut yang segar dan murah di Tawau.

Dalam pada itu, salah seorang pelanggannya, Norleha Medical, 47, dilihat sedang memborong pelbagai jenis makanan laut kering dan dibungkus dengan kemas sebelum dimasukkan ke dalam kotak.

“Saya sering datang memborong ke sini untuk dihantar kepada anak angkat saya di Semenanjung untuk dijual semula memandangkan harga di sana agak mahal.

“Lagipun makanan kering dari pasar Tawau sangat segar walaupun dibandingkan dengan pasar raya-pasar raya yang ada di sini, jadi sememangnya pasar memang pilihan terbaik untuk memborong.

“Lagi pula sangat mudah berunding harga dengan pemiliknya dan mereka turut membantu dari segi pembungkusan yang memudahkan kami untuk menjual semula,” ujar Norleha yang tinggal di Kampung Balung Cocos.

SF

Tinggalkan komen anda