Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sanggup Catu Wang Makan Sebelum Jadi Usahawan

By 3 Januari 2018Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Yusran Yusuf (Sabah)

TAWAU, 3 Jan (Malaysiaaktif) – Keperitan dirinya terpaksa mencatu wang untuk membeli makanan suatu ketika dulu dijadikan batu loncatan untuknya terus melangkah mengubah nasib.

Siapa sangka di sebalik wajah manis milik Norsidayati Mustari, 29 atau lebih dikenali sebagai Bella tersembunyi 1001 kisah duka yang menjadikan dirinya tabah sehingga bergelar usahawan muda yang berjaya.

“Nenek dan mak cik menjaga saya dengan baik sejak kecil kerana ibu meninggal dunia sejak saya berusia lima tahun. Mereka membesarkan dan menyekolahkan saya hingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Belajar dalam aliran Sains, saya bercita-cita ingin menjadi arkitek tetapi tidak berpeluang menyambung pelajaran kerana kekangan kewangan, ditambah ayah pula meninggal ketika saya berusia 19 tahun.

“Lebih malang, saya tidak dapat bertemu ayah pada saat-saat akhir hayatnya kerana tidak punya duit untuk pergi melawat arwah di tanah seberang,” ujar Bella menahan sebak.

Dengan berbekalkan sijil SPM yang agak baik, Bella berhijrah ke Kota Kinabalu dan mendapat pekerjaan di agensi perbankan serta mengharungi hidup seorang diri dengan gaji yang sekadar cukup makan.

“Pernah satu ketika saya mengambil masa agak lama untuk berbelanja di sebuah kedai, bukan kerana banyak barangan yang perlu dibeli, tetapi saya membanding-bandingkan harga dan memilih yang murah kerana kekurangan wang.

“Pernah juga akibat tidak cukup wang belanja, tayar kereta yang sudah pun keluar dawai tidak mampu untuk saya tukar hingga meletup ketika sedang memandu.

“Yang lebih menyedihkan, pada masa yang sama, nenek pula menghubungi saya dan memohon bantuan kewangan bagi mendapatkan rawatan pembedahan matanya, sedangkan untuk diri sendiri pun saya tidak mampu apatah lagi untuk beri kepada nenek,” ujar Bella lagi sambil mengesat air matanya mengenang kisah lalu.

Bella juga berasa rendah diri saat berkumpul bersama teman-teman yang telah melanjutkan pelajaran ke universiti sedangkan dirinya perlu mencari nafkah demi kelangsungan hidup.

Namun begitu, selepas mendirikan rumah tangga, Bella meletakkan jawatan dan cuba mencari alternatif untuk mempunyai pendapatan sendiri.

Dia cuba menjalankan beberapa jenis perniagaan tetapi kerana kekurangan ilmu, produknya pernah dirampas hingga mengalami banyak kerugian.

Atas keperitan lalu, Bella bangkit menjadi seorang usahawan berjaya

Atas keperitan lalu, Bella bangkit menjadi seorang usahawan berjaya

“Saya mula mempelajari kemahiran dengan mengambil tahap satu dan dua Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam Kursus Kecantikan kelolaan Jabatan Pembangunan Kemahiran pada 2015.

“Agak ramai yang mengecam dan ragu-ragu apabila mengetahui saya cuba mengambil sijil ini tetapi saya tidak mengendahkan mereka dan tetap kekal dengan keputusan yang saya pilih.

“Saya juga nekad mengeluarkan produk dengan idea formulasi saya sendiri selepas melihat keberkesanannya kepada diri sendiri dan ramai yang bertanyakan rahsia saya itu,” katanya yang kini masih lagi belajar untuk menghabiskan tahap tiga SKM.

Dengan baki wang simpanan yang ada, Bella mengusahakan jenama kecantikan miliknya dan mempelajari selok-belok perniagaan sehingga mampu mempunyai lebih 200 agen dan 18 stokis di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun berniaga.

Pada mulanya, Bella melakukannya secara kecil-kecilan di rumah melalui laman sosial Facebook dan Instagram dan melakukan semuanya sendiri bermula dengan mengambil pesanan hingga menghantarnya kepada pelanggan.

Setelah itu, ketika jualannya mencecah RM1 juta, Bella menyewa sebuah premis yang terletak di kawasan bandar Fajar, Tawau sebagai pejabat dan tempat menyimpan stok.

“Dahulu saya selalu menyalahkan takdir mengapa saya yang terpilih untuk merasai semua kesulitan hidup dan kehilangan orang yang tersayang.

“Tapi itu dahulu, sewaktu saya tidak faham perancangan-Nya, tapi sekarang baru saya faham. Allah rancangkan yang lebih baik untuk saya, lebih daripada apa yang saya mahu.

“Belajar daripada keperitan lalu, saya kini menjaga agen-agen dan stokis saya dan sering menegaskan kepada mereka betapa pentingnya berusaha jika mahu berjaya,” ujarnya.

Bella juga sering memberikan kata-kata semangat kepada agen-agennya dan memberikan imbuhan atas kerja keras yang telah dilakukan oleh mereka.

“Impian saya supaya dapat membantu suri rumah dan wanita-wanita yang ingin mendapatkan pendapatan sampingan supaya mereka juga dapat membantu menambah pendapatan keluarga.

“Sesekali sayu juga hati bila mendapat tahu melalui produk ini saya mampu membantu mereka membeli susu anak, membayar bil-bil dan membantu suami dengan perbelanjaan dapur.

“Ada dalam kalangan mereka kini mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM40,000 hingga Rm50,000 sebulan walaupun tidak belajar tinggi dan hanya bergelar suri rumah,” ujar Bella.

Bella juga tidak mengendahkan pandangan negatif orang sekeliling yang mempersendakannya mengikuti program motivasi dan kursus perniagaan yang bernilai ribuan ringgit.

“Pada pendapat saya, apa salahnya jika dengan pelaburan yang saya buat itu saya mampu mendapat ilmu bagi mengembangkan lagi perniagaan saya.

“Berniaga tanpa ilmu nanti akhirnya perniagaan kita tidak akan ke mana-mana. Kini saya juga sering dijemput ke majlis-majlis untuk berkongsi pengalaman dan memberikan motivasi.

“Apa yang penting saya mahu mereka di luar faham, walaupun kelayakan kita hanya SPM tetapi jika azam kita kuat dan mahu berjaya, kita hanya perlu berusaha dan bertindak,” katanya ketika ditemui di premisnya pada Isnin.

-SF

Tinggalkan komen anda