Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tribute Ride 2018 Penuhi Hajat Arwah Rakan

By 31 Januari 2018Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Mohd Jufree Kassim (Sabah)
KOTA KINABALU, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Hajat seorang rakan yang tidak kesampaian untuk menyelesaikan misi konvoi bermotosikal ke Sibu pada 8 Disember 2017 yang lalu kerana terlibat kemalangan membuatkan rakan-rakannya mengatur sebuah konvoi khas dedikasi untuk arwah.

Konvoi yang dinamakan Tribute Ride 2018 telah dianjurkan selama lima hari sehingga 29 Jan untuk allahyarham Rosmaini Abdul Talib melibatkan 11 hentian sebelum peserta kembali di Kota Kinabalu.

Penyerahan momento kepada Papar Bikers Club daripada Haniff (tiga dari kiri).

Penyerahan momento kepada Papar Bikers Club daripada Haniff (tiga dari kiri).

Mengimbas semula kejadian sebelum kemalangan berlaku, menurut Biro Pengurusan, Mohd Jufree Kassim, konvoi empat motor untuk ke Sibu Bike Week Disember lalu agak sedikit janggal apabila arwah yang kebiasaanya suka berlawak lebih banyak mendiamkan diri sepanjang perjalanan.

“Jam menunjukkan 5.00 petang ketika itu apabila kami ingin meneruskan perjalanan ke Bintulu selepas berehat di sebuah stesyen minyak yang terletak di Bekenu.

“Kami telah menetapkan kedudukan sebelum memulakan konvoi iaitu arwah berada di kedudukan kedua selepas Hanif dan saya pula yang ketiga, tetapi kedudukan itu berubah di pertengahan jalan apabila arwah memberi isyarat untuk saya ke hadapan kerana bimbangkan Jalal yang berada di belakang.

“Selepas 20 minit, isteri ada bertanyakan kedudukan arwah dan juga Jalal kerana tidak terlihat kelibat mereka di belakang kami, jadi saya dan Hanif mengambil keputusan untuk berhenti di tepi jalan untuk menunggu mereka, “jelas Jufree.

Namun begitu, menurut Jufree selepas sejam menunggu, arwah dan Jalal masih juga belum muncul hinggalah sebuah kereta berhenti untuk memberitahu bahawa salah seorang telah terbabit dengan kemalangan di Kampung Jawa.

“Dengan minyak yang tinggal sedikit, kami mengambil keputusan untuk berpatah balik ke tempat kejadian, memang agak sedih melihat keadaan arwah setibanya kami di sana.

“Jalal beritahu saya, dia juga bertukar kedudukan dengan arwah apabila diminta dan dia hanya berpaling melihat arwah selepas mendengar bunyi kuat apabila arwah bertembung dengan lori yang menuruni bukit,” kata Jufree ketika ditemui pada Selasa.

Tambahnya, niat arwah begitu besar untuk ke Sibu bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara ahli kelab motosikal di Sabah, Brunei dan Sarawak.

Selepas beberapa perbincangan dibuat, akhirnya konvoi ini dicadangkan dengan melibatkan semua kelab motosikal dari Lawas, Limbang, Temborong, Brunei, Kuala Balait, Miri, Bintulu, Sibu dan Sarikei.

LC Crew Sarawak di Limbang tidak ketinggalan menyertai konvoi ini.

LC Crew Sarawak di Limbang tidak ketinggalan menyertai konvoi ini.

“Alhamdulillah semua daerah membantu kami untuk mengadakan Tribute Ride ini. Mereka turut mencadangkan supaya diadakan perhentian di setiap daerah, kerana penunggang akan memberikan sumbangan untuk arwah.

“Kira-kira enam buah motor ke Bintulu untuk melaksanakan hasrat arwah dengan melalui jalan Papar Baru.

“Kami singgah bersarapan pagi bersama Papar Bikers Club, kemudian meneruskan perjalanan ke Beaufort dan Sipitang sebelum berhenti untuk makan tengah hari bersama penunggang di Lawas.

“Selepas itu, kami melalui Temborong, Limbang dan kemudian masuk simpang Tanjung Maya iaitu jalan pintas tanpa perlu melalui pusat bandar Brunei, seterusnya ke Kuala Belait, Miri, Bintulu dan seterusnya ke Sibu,” terangnya.

Menurut Jufree, mereka turut mencetak baju kenang-kenangan untuk konvoi ini yang dijual dengan harga RM35 sehelai dengan RM5 disumbangkan kepada keluarga Arwah.

“Alhamdulillah atas bantuan semua ahli, orang-perseorangan dan juga kelab, hasil tempahan baju Tribute Ride mencecah 200 helai, jumlah terkumpul sebanyak RM1000 ini diharap dapat meringankan beban keluarga Arwah.

“Harapan kami dengan terlaksananya konvoi ini dapat mengubah persepsi masyarakat bahawa bukan semua mat motor ini berkelakuan tidak baik dan tidak bermoral.

Penyampaian sumbangan kepada keluarga arwah diwakili oleh Jufree.

Penyampaian sumbangan kepada keluarga arwah diwakili oleh Jufree.

“Sekarang kita boleh lihat banyak Kelab Motosikal memberikan sumbangan kepada anak yatim, warga tua dan lain-lain.

“Ini yang kita mahukan, jangan kita dipandang hina oleh masyarakat dan harapan saya semoga hubungan silaturahim antara Sabah , Brunei dan Sarawak semakin kukuh,” ujarnya.

Atas bantuan rakan-rakan yang prihatin dengan masa depan keluarga arwah, permohonan isteri dan anak-anak Allahyarham Rosmaini untuk mendapatkan bantuan bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga telah diluluskan dan diterima.

SF

Tinggalkan komen anda