
Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Vicky Sylverster Matanjang (Sabah)
KOTA BELUD, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi universiti pertama di negara ini membina rumah berkonsepkan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) untuk diserahkan kepada mereka yang memerlukan.
Menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berkata, Rumah Komuniti tersebut merupakan projek rumah percuma yang diagihkan kepada keluarga miskin atau kurang berkemampuan oleh UMS.
“Rumah Komuniti ini berukuran 600 kaki persegi, dilengkapi dengan tiga bilik tidur, satu tandas, dapur dan ruang tamu dibina dengan kos tidak sampai RM20,000 dan siap dalam masa kurang daripada satu bulan oleh pelajar-pelajar UMS.
“Penggunaan Teknologi IBS dalam Program Rumah Komuniti dapat membantu kerajaan menyediakan rumah untuk rakyat dengan kos yang lebih menjimatkan serta masa pembinaan yang lebih singkat,” katanya.
Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan menjelaskan usaha UMS menggunakan teknologi berkenaan wajar dipuji kerana bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan tetapi juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri selain dapat membantu kerajaan dalam merancakkan lagi usaha pemilikan rumah untuk rakyat.
“Saya juga menyeru masyarakat supaya terus bersama kerajaan agar kami dapat meneruskan usaha-usaha membantu golongan yang memerlukan ini,” ujarnya semasa merasmikan Majlis Penyerahan Projek Rumah Komuniti, di Kampung Pantai Mas di sini, pada Ahad.
Penerima Rumah Komuniti dipilih berdasarkan pendapatan, terdiri daripada mereka yang tidak memiliki rumah sendiri dan daripada golongan kurang berkemampuan.
Sementara itu, Naib Cancelor UMS, Prof Datuk Dr D. Kamaruddin D. Mudin, berkata UMS turut membina tiga lagi Rumah Komuniti di Sipitang, Tawau dan Sandakan yang dijangka akan dirasmikan pada Februari nanti.
Rumah Komuniti pertama itu diserahkan kepada Rodzlee Adkil, 36 yang berkerja sendiri dengan pendapatan kurang RM500 sebulan.
Selain Rodzlee dan isteri, Masrah Osman,37, rumah berkenaan akan turut didiami oleh enam anak mereka.
–SF