
Laporan oleh Hj Mohammad Sarah Hj Bulindan / Foto : R.Fauzi Abd Lahap (Sabah)
SANDAKAN, SABAH, 01 Feb. (Malaysiaaktif) – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berjaya menahan seorang ejen pemalsuan dokumen pengenalan diri yang aktif di sekitar kawasan pantai timur sabah pada rabu.
Hasil penahanan seorang wanita berusia 52 tahun di kawasan perindustrian SEDCO, Batu 2 setengah tersebut, turut ditemui pelbagai bahan bukti ,seperti sijil lahir dan kad pengenalan palsu.
Pada sidang media, Ketua Pengarah, Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata hasil risikan selama sebulan mendapati ejen berkenaan aktif melakukan pemalsuan dokumen kad pengenalan diri dengan menyasarkan warga negara Pakistan, Filipina dan Indonesia sebagai pelanggan utama.
“Operasi bersepadu melalui pendekatan NBOS pada pagi Rabu yang diketuai oleh JPN dengan kerjasama daripada polis dan Jabatan Imigresen turut berjaya menahan dua warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah perundangan negara.
“Kejayaan operasi ini dijangka dapat memutuskan jaringan sindiket di negeri Sabah dan ini merupakan manifestasi pelbagai agensi penguatkuasaan yang sentiasa komited menjaga kedaulatan dan keluhuran undang-undang di negara ini,”ujarnya.
Menurutnya lagi, JPN akan meneruskan pelbagai inisiatif dan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan integriti dokumen pengenalan diri yang merupakan dokumen paling asas di negara ini tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“JPN akan melakukan siasatan lanjut bagi memastikan jaringan sindiket yang bergiat aktif di Sabah akan dapat dibendung,”katanya.
Sementara itu, pada operasi berasingan Jabatan Pendaftaran Negara turut berjaya menahan seramai 11 suspek yang merangkumi seorang lelaki dan 10 wanita di daerah Tawau pada 26 Januari lalu.
Jelasnya, kesemua suspek yang ditahan akan membantu siasatan terhadap pelbagai kesalahan, seperti menyalahgunakan dokumen pengenalan diri milik orang lain, memberikan maklumat palsu semasa penganjuran kad pengenalan serta menggunakan kad pengenalan milik orang lain.
“Hasil risikan selama dua bulan di daerah terbabit sehingga tertangkapnya suspek utama lelaki dapat membantu siasatan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri Malaysia dalam kalangan warga negara Pakistan.
“Kesemua yang tertangkap akan disiasat di bawah peraturan-peraturan pendaftaran negara 1990 (pindaan 2007) kerana menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,”ujarnya.
Dalam kes berasingan 29 Januari lalu, Mahkamah Majistret Lahad Datu menjatuhkan hukum penjara 15 bulan ke atas Hudaya, 37, dari Indonesia bersabit kesalahan memberi keterangan palsu semasa membuat permohonan daftar lewat kad pengenalan di JPN Kunak dengan menggunakan maklumat milik orang lain.
Pesalah kedua, Norlela, 43, yang juga dari Indonesia, diberkas ketika cuba membuat permohonan kad pengenalan kali pertama semasa berumur 37 tahun di JPN Tungku.
Razin berkata, kedua-dua tertuduh akan diambil tindakan pengusiran oleh Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman terbabit.
Manakala kes berasingan, suspek Abdurasid Jamil dan Sabturiah Akmad turut dijatuhkan hukuman pada 30 Januari atas kesalahan memberikan maklumat palsu semasa menganjurkan kad pengenalan kali pertama kepada beberapa orang individu di bawah peraturan 25(1) (b), peraturan-peraturan pendaftaran negara 1990 (pindaan 2007).
“Majistret Tuan Faizal Che Saad menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula dari tarikh tangkapan,”jelasnya lagi.
Berikutan kejayaan operasi yang dilaksanakan, Razin menegaskan JPN akan meneruskan operasi dan inisiatif sebegini bagi membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri terutamanya kad pengenalan untuk menjaga keselamatan negara daripada diseleweng pihak tidak bertanggungjawab.