Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Festival Sihat Muhibah Satukan Kaum di Jelawat

By 15 Februari 2018Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto : Rosli Md. Zin (Bachok)

BACHOK, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Kerjasama jabatan serta agensi kerajaan bersama Yayasan Malindo Business and Culture Centre telah berjaya menarik masyarakat semua kaum sekitar Jelawat menghadiri program Festival Sihat Muhibah Peringkat Daerah Bachok, kelmarin.

Ketua Pengarah Yayasan Malindo, Datuk Dr. Alex Ong yang juga tuan rumah program berkata selain mengeratkan hubungan penimpin dan rakyat, melahirkan masyarakat harmoni dan bersatu padu, program ini juga berjaya menarik masyarakat menuju kearah penjagaan kesihatan yang baik.

Peserta larian setelah berjaya menamatkan larian masing-masing.

Peserta larian setelah berjaya menamatkan larian masing-masing.

“Ini terbukti dengan penyertaan seramai 700 orang pelajar menyertai larian festival muhibah ini walaupun diadakan pada sebelah petang, dan saya juga berterima kasih kepada jabatan dan agensi kerajaan yang hadir sebagai pempamer ataupun memberi perkhidmatan sosial,” ujarnya ketika berucap pada program tersebut.

Pengerusi Mara Malaysia, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang hadir pada program ini turut melawat sekitar pasar jelawat dan menyampaikan sedikit buah tangan kepada pengunjung pasar dan peniaga.

Awang Adek berkata program ini telah mencapai matlamat perpaduan kerana walaupun program ini dianjurkan sempena Tahun Baharu Cina, kehadiran kaum-kaum lain menyemarakkan lagi program.

“Walaupun diadakan di kawasan yang majoriti penduduknya adalah Cina namun kehadiran ramai orang Melayu dan India jelas menunjukkan konsep 1Malaysia telah berjaya dilaksanakan,” ujarnya.

Seorang pengunjung yang hadir ke program ini, Khatijah Salim, 43, berkata selain menghantar anak bongsunya menyertai pertandingan larian beliau juga dapat berjumpa teman-teman lamanya yang berbangsa Cina.

“Datang sini dapat jumpa kawan-kawan lama dan megenang kembali kisah kisah di zaman persekolahan mereka ketika bersama-sama menuntut di sekolah kebangsaan dahulu,” katanya.

– SH

 

Tinggalkan komen anda