
Laporan dan foto oleh: Mohd Nazri Saparudin
KINTA, 23 FEB (Malaysiaaktif) – Karnival Mahabbah Institusi Agama Islam Negeri Perak bersempena dengan Pemukiman Menteri Besar Perak telah berlangsung dengan jayanya di Masjid An-Nur Batu 8, Ulu Kinta hari ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapannya berkata, karnival ini merupakan program yang berjaya menghimpunkan dan mendekatkan institusi agama Islam Negeri Perak dengan penduduk Daerah Kinta khususnya.
“Umat Islam mestilah bersatu padu dan jangan bergaduh sesama sendiri kerana dengan bersatu kita semua dapat menjalinkan ikatan ukhwah yang baik dalam masyarakat di samping dapat mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan perpaduan,” tambahnya lagi.
Pelbagai acara telah diadakan bagi mencapai matlamat program ini. Antaranya ialah Dialog Ketua Jabatan Institusi Agama Islam Negeri Perak, Klinik Dr Zambry (Pejabat Menteri Besar Perak), dan pameran daripada agensi serta jabatan kerajaan.
Selain itu, kaunter bergerak turut disediakan untuk kemudahan orang ramai. Antara yang mendapat tumpuan termasuklah Kedai Bergerak 1Amanjaya Negeri Perak, Kaunter Bergerak Suruhajaya Pilihanraya (SPR), Perbadanan Perpustakaan Negeri Perak, dan Ar Rahnu YaPeim.
“Program yang diadakan pada hari ini sangat bagus terutama Kedai Bergerak 1Amanjaya kerana barangan yang dijual lebih murah. Hal ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban orang ramai dalam membeli keperluan asas,” ulas seorang pengunjung, Adnan Ariffin, 68 ketika ditemui.
Pada majlis tersebut, Zambry juga berkesempatan menyempurnakan acara penyampaian cek penghargaan kepada 40 orang guru KAFA yang telah berpencen pada tahun 2017 dan penyampaian surat tawaran sebagai peserta Ladang Rakyat Ulu Piah Mukim Ulu Kinta seramai 85 orang.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak, Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinta, Datuk Aminuddin Haji Md Hanafiah, dan ADUN Manjoi Haji Mohamad Ziad Dato’ Mohamed Zainal Abidin.
– MRR